1,926 syarikat pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia

Dato' Mumtaz Md Nawi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jumlah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) aktif bagi skim premis makanan setakat 10 November 2024 seluruh negara ialah sebanyak 1,926 syarikat (10,814 premis makanan).

- Advertisement -

“Buat masa ini, JAKIM tidak menawarkan pensijilan halal luar negara bagi skim premis makanan,” kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyatakan dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Mumtaz Md Nawi [PN-Tumpat] di Dewan Rakyat, semalam.

Mumtaz menerusi soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan berapa jumlah restoran makanan milik pengusaha tempatan dan antarabangsa yang memiliki pensijilan halal Malaysia dan perancangan meningkatkan prasarana bagi membantu mempercepatkan pengeluaran sijil halal.

Beliau juga bertanya apakah JAKIM berhasrat mengadakan standard baru untuk pensijilan halal iaitu satu standard dan logo baharu seumpama ‘Halalan Toyyiban’.

Menurut Na’im lagi, melalui JAKIM, inisiatif segera bagi mempercepatkan pensijilan halal Malaysia telah dilaksanakan dalam tempoh 30 hari bekerja.

Tambahnya, JAKIM juga telah dan sedang melaksanakan aktiviti pemerkasaan pensijilan

Selain itu, jelasnya kesediaan dan kesungguhan pihak industri dalam mematuhi piawaian dan standard pensijilan halal Malaysia menyumbang kepada kesegeraan proses pensijilan halal.

Katanya lagi, kerajaan telah melaksanakan penggunaan Logo Halal Malaysia yang seragam pada 2003 bertujuan untuk menyelaras pengurusan pensijilan halal di seluruh Malaysia dan memudahkan industri dalam aspek import eksport.

Penyeragaman ini menaikkan imej negara sebagai pelopor pensijilan halal global dan memberi keyakinan kepada industri dan pengguna terhadap kualiti barangan dan produk makanan yang membawa jenama halal.

Tambahnya, pada masa ini standard berkaitan halal telah dibangunkan oleh Jabatan Standard Malaysia dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk JAKIM di mana sepuluh standard telah dijadikan rujukan dalam pensijilan halal.

“Sehubungan itu, keperluan standard baharu dan logo baharu berkaitan ‘halalan toyibban’ perlu dibuat kajian dengan lebih teliti memandangkan ia akan melibatkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2024

- Advertisement -