
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) diingatkan untuk tidak berat sebelah dalam menguruskan sebarang kes yang terdapat elemen rasuah, kata Ketua Penerangan PEJUANG, Muhammad Rafique Rashid Ali.
Beliau mengulas isu yang timbul di mana dikatakan seorang ahli perniagaan mempunyai lapan rakaman video berkaitan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit.
“Video tersebut menunjukkan beberapa ADUN membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri.
“Sehingga kini butiran mengenai kes tersebut masih lagi kabur dan tidak jelas tetapi ahli perniagaan tersebut dikhabarkan telah melantik peguam bagi mendapatkan perlindungan sebagai ‘pemberi maklumat’ (whistleblower),” katanya di Facebook semalam.
Menurut beliau, SPRM perlu bertindak terhadap kes tersebut yang mana perkara tersebut boleh dibuat tanpa perlu laporan dibuat di pejabat agensi tersebut.
Tambah beliau, isu sebegini juga adalah besar seperti kes-kes lain yang mana SPRM begitu komited melakukan serbuan.
“Satu daripadanya ialah mengenai kes Aman Palestin yang mana pejabatnya diserbu, kakitangan-kakitangannya dipanggil setiap hari untuk diambil keterangan, sidang media dibuat serta segala akaun bank syarikat tersebut dibekukan.
“Begitu juga dengan Fashion Vallet yang mana apabila timbulnya persoalan mengenai isu tersebut dalam media sosial, SPRM terus bertindak menjalankan siasatan penuh mengenai perkara tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu, Muhammad Rafique juga mempersoalkan tindakan SPRM yang masih menunggu apabila berkaitan rasuah melibatkan ADUN-ADUN didakwa tersebut.
Kata beliau lagi, sudah ada rakaman yang cuba dijadikan sebagai bukti bagi menunjukkan kes rasuah tersebut.
“Dalam Seksyen 25 Akta 694 SPRM itu sendiri ada menyatakan mana-mana orang yang mempunyai maklumat hendaklah membuat laporan seawal yang mungkin.
“Malah jika tiada alasan munasabah untuk tidak lapor, maka ianya merupakan suatu kesalahan yang mana seseorang boleh dituduh dan jika disabit boleh didenda RM10,000 atau penjara hingga dua tahun.
“Jadi, saya harapkan SPRM untuk mengambil tindakan yang sewajarnya mengenai kes rasuah yang tular baru-baru ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











