
KUALA LUMPUR: Perusahaan Kecil, Mikro dan Sederhana (PKMS) berperanan penting dalam menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan pertumbuhan sebanyak lima peratus.
Datuk Muslimin Yahaya (PN-Sungai Besar) menyeru agar PKMS diberi sokongan untuk skala ke tahap lebih tinggi, memandangkan impaknya yang signifikan kepada ekonomi.
Menurutnya, belanjawan untuk program seperti Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) masih rendah, termasuk peruntukan untuk latihan.
“Apa inisiatif KUSKOP dengan belanjawan yang sedikit untuk memaksimumkan peranan hala tuju dan strategi khusus menerusi SME Technology Transformation Fund?
“Ini bagi melonjak usaha PKMS melaksanakan transformasi digital, transformasi teknologi dan penerapan industri 4WRD di sebalik kerancakan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Menurut Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, kementeriannya banyak bergantung pada dana dalaman, seperti Revolving Plan, bagi menyokong inisiatif berkenaan.
Beliau berkata, program digitalisasi dan pembangunan kapasiti PKMS dijalankan di bawah SME Corp, dengan sokongan SME Bank dan Bank Rakyat melalui dana dalaman mereka.
“Jadi contoh kalau kita akan memulakan program yang kita sedang di dalam perbincangan dan akan teliti sebelum hujung tahun ni program-program tersebut.
“Juga akan menggunakan dana dalaman sahaja dan bukan saja daripada dana yang terdapat di dalam dana belanjawan,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











