Hari Hududullah bentuk pola pemikiran rakyat

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sambutan Hari Hududullah merupakan program tahunan yang dianjur bagi membentuk pola pemikiran rakyat terhadap kewajipan menegakkan syariat Islam dalam pentadbiran kerajaan.

- Advertisement -

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Mohd Asri Mat Daud berkata, setiap tahun kerajaan negeri membelanjakan RM1 juta bagi melaksanakan pemerkasaan undang-undang syariah di Kelantan.

“Hari Hududullah mula dilaksanakan pada 2006 dan diadakan secara tahunan bagi mendidik rakyat memahami pelaksanaan sistem perundangan Islam.

“Setiap tahun kita melakukan penambahbaikan undang-undang syariah. Peruntukan RM1 juga disediakan bermula 2014,” katanya pada perasmian Sambutan Hari Hududullah peringkat negeri di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Panji hari ini.

Program itu dirasmi Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud. Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Mohd Amar Abdullah, anggota-anggota Exco, wakil rakyat dan pegawai kerajaan.

Mohd Asri juga berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menambah baik sistem perundangan Islam di Kelantan.

Menurutnya usaha itu akan diterjemahkan menerusi penggubalan semula Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 2019 yang dibatalkan Mahkamah Persekutuan awal tahun ini.

Selain itu kerajaan negeri turut mengadakan Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (KONSIS) 21 Mei lalu sebagai tindakan awal terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

“Jawatankuasa Induk dipengerusikan Timbalan Menteri Besar bersidang 30 Oktober lalu memutuskan membentuk jawatankuasa teknikal menggubal semula seksyen yang dibatalkan.

“Hari Hududullah merupakan salah satu langkah membentuk pemikiran rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

- Advertisement -