
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius terhadap isu-isu berkaitan penyelewengan akidah dan jenayah yang dikaitkan dengan Global Ikhwan Service & Business Holdings Sdn. Bhd. (GISB Holdings Sdn. Bhd. – GISB) yang melibatkan amalan ajaran sesat, aktiviti perhambaan, eksploitasi kanak-kanak dan sebagainya.
Menteri Dalam Negeri berkata, pihak PDRM telah menjalankan risikan berhubung dengan eksploitasi dan penderaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB.
Menurutnya, PDRM telah menjalankan siasatan dan melancarkan OP Global pada 7 September 2024.
Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) di Dewan Rakyat, semalam.
Dalam soalannya, Ahmad Fadhli meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan kronologi siasatan dan tindakan yang telah diambil oleh pihak Kerajaan ekoran dakwaan penyelewengan akidah dan manipulasi kanak-kanak oleh kakitangan syarikat Global Ikhwan Sdn. Bhd dan Global Ikhwan Services and Business Holdings atau GISB @ GIHB.
Jelas menteri itu lagi, siasatan pihak PDRM terbahagi kepada 4 Fasa yang telah dijalankan sehingga kini iaitu Fasa 1 bermula pada 2 hingga 10 September lalu di mana pihak PDRM telah menerima 4 laporan polis di Negeri Sembilan dan Selangor ke atas kes penderaan kanak-kanak.
Sepanjang tempoh ini sebanyak 13 kertas siasatan telah dibuka dan 6 tangkapan dibuat ke atas beberapa individu.
Selain itu, pihak PDRM juga telah melaksanakan serbuan ke atas 20 premis Rumah Amal Limpahan Kasih (RALK) di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu 18 di Selangor dan 2 di Negeri Sembilan. Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 31(a) dan 32(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], Seksyen 14(a) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792] dan Seksyen 344/323 Kanun Keseksaan.
Katanya, Fasa 2 bermula pada 11 hingga 17 September 2024 di mana pihak PDRM telah membuka 24 kertas siasatan dan berjaya membuat tangkapan seramai 176 orang serta telah berjaya menyelamatkan seramai 392 orang mangsa yang terdiri daripada kanak-kanak.
“Dalam fasa ini, pihak PDRM telah membuat pertuduhan sebanyak 4 kertas siasatan dan menuduh 2 orang dengan 5 pertuduhan.
Siasatan telah dijalankan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611], Sek. 6(1) Akta Taman Asuhan 1984, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], Sek. 506 Kanun Keseksaan, Sek. 427 Kanun Keseksaan dan Sek. 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670];
Tambahnya, Fasa 3 bermula pada 18 hingga 20 September lalu di mana ihak PDRM telah membuat tangkapan seramai 36 orang telah ditangkap termasuk Pengerusi GSIBH. Siasatan di bawah Seksyen Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670].
Katanya lagi, Fasa 4 bermula 21 hingga 30 September lalu di mana pihak PDRM telah berjaya membuat tangkapan seramai 213 orang dan membuka 56 kertas siasatan dibuka.
Menurutnya, siasatan di bawah Seksyen 31(a) dan 32(a) Akta Kanak-Kanak, Seksyen 12 dan 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 [Akta 670], Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] , Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 [Akta 792], Kesalahan di bawah Kanun Keseksaan [Akta 574], Seksyen 298 Kanun Keseksaan / Sek. 8 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 Seksyen 6(1)(c) / Sek. 55E Akta Imigresen 1957/1963 dan Sek. 13 (1)(B) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997.
Katanya, pihak Polis Diraja Malaysia melaksanakan operasi ini dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia, Jabatan Kimia Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
“Berdasarkan tempoh fasa siasatan pihak PDRM bermula 2 hingga 30 September 2024, pihak PDRM telah membuka sebanyak 94 kertas siasatan dengan pelbagai akta, 410 orang tangkapan dan sebanyak 11 kertas siasatan telah dituduh melibatkan 8 orang (OKT).
“Jumlah mangsa yang telah diselamatkan seramai 625 orang terdiri daripada lelaki 308 orang dan perempuan 317 orang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











