
KOTA BHARU: Kerajaan negeri merancang membantu penarik beca di Kelantan memperolehi pendapatan tetap secara bulanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Dato’ Kamarudin Md Nor berkata, menjadi hasratnya supaya penarik beca memperolehi pendapatan tetap jumlah tertentu setiap bulan.
Beliau bagaimanapun berkata, hasrat itu masih di peringkat cadangan.
Menurutnya, hasrat itu timbul kerana menyedari pendapatan penarik beca tidak seberapa berikutan mereka kurang mendapat penumpang.
“Sebelum ini pelancong datang ke Kelantan menyewa khas beca untuk meninjau sekitar tempat menarik di Bandar Kota Bharu,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan sara hidup siri dua, kepada 17 orang pengayuh beca di Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) di sini hari ini.
Sebanyak RN1,200 diberi kepada penarik beca sebanyak dua kali setahun menerusi program Bantuan Sara Hidup yang diperkenalkan kerajaan Kelantan sejak tahun 2017.
Kamarudin juga berkata, jumlah penarik beca di Kelantan semakin mengecil berikutan tiada pengganti bersedia meneruskan tugas itu sebagai kerjaya.
“Yang ada ini pun sudah berusia sehingga ada di antara mereka menjangkau 80 tahun, tetapi meneruskan juga tugas tersebut kerana ia menjadi sumber rezeki sejak sekian lama,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











