
PASIR MAS: Taman Wetland Paya Gelam Rekreasi bakal beroperasi sepenuhnya awal tahun depan berikutan proses pembinaannya berjalan lancar.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Hilmi Abdullah berkata, sehingga kini proses pembinaannya sudah mencapai 90 peratus.
Katanya, taman tersebut dibangunkan di bawah peruntukan Ecological Fund Transfer (EFT) untuk kegunaan orang ramai.
“Kerajaan negeri akan berusaha menambah jumlah taman di peringkat jajahan untuk dijadikan tempat beriadah dan berkumpul sesama keluarga pada hujung minggu.
“Pada 16 Oktober lalu saya meninjau perkembangan pembinaan taman tersebut di mana ketika itu sudah mencapai 60 peratus dan sekarang alhamdulillah mencapai 90 peratus,” katanya ketika dihubungi di sini.
Kata beliau juga susun atur serta idea landskap taman wetland hasil garapan idea arkitek landskap lepasan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Busyairi Ahmad.
Menurutnya anak jati Kelantan itu banyak membantu pihak berkuasa tempatan (PBT) di Kelantan dalam pembangunan landskap.
“Busyairi turut membuat kertas cadangan projek dan mencipta design serta konsep taman awam dan rekreasi termasuk wetland, pocket park dan pembangunan landskap pesisir pantai di seluruh Kelantan,” katanya.
Beliau melahirkan rasa bangga apabila anak Kelantan yang mencari ilmu di luar negeri, kembali mencurah berbakti kepada negeri kelahirannya.
Hilmi yang juga ADUN Guchil bagaimanapun mengharapkan orang ramai menjaga kebersihan di tempat-tempat awam untuk kepentingan dan keselesaan masyarakat. – HARAKAHDAILY 12/11/2024











