Apa jaminan kerajaan dapat tangani isu kartel, monopoli

Shaharizukirnain Abd Kadir
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Indikator baharu untuk mengukur tahap kos sara hidup rakyat hingga ke peringkat daerah perlu diambil kira daripada pelbagai dimensi termasuk persekitaran bagi memastikan peningkatan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

- Advertisement -

Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berkata, baru-baru ini Astro Awani melaporkan bahawa kegiatan kartel dan monopoli menjadi faktor penentu kepada kos sara hidup dan inflasi.

“Golongan ini sering menggunakan alasan seperti penarikan subsidi untuk menaikkan harga, yang kemudiannya akan mengganggu bekalan dan rantaian.

“Apakah jaminan kerajaan bahawa indikator itu dapat menangani isu kartel dan monopoli?

“Selain itu, adakah kerajaan bersedia untuk menambah bantuan atau skim diskaun barangan asas untuk rakyat luar bandar dalam memastikan golongan ini diberi peluang untuk menyesuaikan diri dengan perubahan dasar subsidi ni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan perkembangan terkini indikator baharu yang ditetapkan kementerian bagi mengukur kos sara rakyat dan mekanisme yang disediakan bagi menangani kos sara hidup rakyat luar bandar khususnya akibat peningkatan kos pengangkutan susulan penyasaran subsidi bersasar.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, berkata kerajaan akan melakukan pemadanan pendapatan rakyat dengan keperluan perbelanjaan kehidupan wajar tersebut.

“Oleh itu, kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan pendapatan rakyat agar jurang di antara keperluan dan pendapatan itu tidak terlalu besar, malah jika boleh, melebihi keperluan asas tersebut. – HARAKAHDAILY 12/11/2024

- Advertisement -