Transformasi dari ilmu Barat kepada ilmu Islam

Amati seruan Syed Muhammad Naquib Al-Attas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan mengikut Al-Quran dan Sunnah adalah bersifat syumul yakni meliputi ilmu dunia dan akhirat menjadi penyelesaian kepada ketempangan sistem yang melahirkan pelbagai masalah hari ini.

- Advertisement -

Pengerusi Gerakan Keadilan Monetori, Muhammad Zahid Abdul Aziz berkata, sistem pendidikan dihasilkan pakar-pakar yang ada pada hari ini lebih kepada pengkhususan bidang semata-mata

“Tidak lagi menguasai bahasa Al-Quran yang hanya datang dari sistem pendidikan syumul menyebabkan umat Islam sekarang mengambil ilmu dari sistem Barat.

“(Menyebabkan mereka) tidak lagi meneroka melalui Al-Quran dan Sunnah itu sendiri,” katanya yang berpengalaman lebih suku abad dalam bidang perbankan dan kewangan Islam ketika dihubungi HarakahDaily hari ini.

Menurutnya, sudah terlalu banyak isu berkaitan ekonomi berlaku dalam negara ini yang mana antaranya ialah hutang isi rumah, kenaikan harga minyak diesel, kenaikan kos sara hidup dan seumpamanya.

Krisis-krisis ekonomi tersebut jelasnya, telah menyumbang kepada penularan masalah sosial yang semakin membimbangkan dalam kalangan masyarakat negara ini.

“Kita harus faham bahawa pendidikan berasaskan Al-Quran dan Sunnah bersifat syumul akan menghasilkan penguasaan ilmu bahasa Al-Quran. Ini membolehkan mereka menceduk dan meneroka ilmu sains dan ilmu dunia terus daripada kitab suci tersebut.

“Buktinya dapat dilihat pada zaman kegemilangan Islam pada abad ke-15 di mana umat Islam berjaya mendahului dunia dan menghasilkan bapa perubatan, bapa kimia, bapa algoritma.

“(Juga) bapa kalkulus algebra, bapa trigonometri sfera, bapa pembedahan moden, bapa optik dan seumpamanya. Kesemua ilmu tersebut masih lagi dipakai tanpa mengira zaman.

“Tetapi umat Islam kini tempang kerana sistem pengkhususan yang diperkenalkan oleh penjajah kepada negara kita itu sendiri telah menghilang keupayaan ilmuan untuk mencedok ilmu terus daripada Al-Quran,” ujarnya.

Kata Zahid lagi, Tan Sri Dr Muhammad Naquib Al-Attas merupakan antara ilmuan terulung yang mencadangkan transformasi pandangan alam dari pandangan alam Barat kepada pandangan alam Quran dan Sunnah.

“Apa kata selain memberi anugerah demi anugerah kepada Profesor Diraja Terpuji Tan Sri Profesor Syed Naquib Al-Attas, kita amati dan pelajari apa yg beliau ingin sampaikan dan laksanakannya demi umat manusia pada hari ini?”  – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -