Rakyat tertekan walaupun inflasi rendah

Mohd Nazri Abu Hassan
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rakyat kini semakin merasai tekanan kos sara hidup yang tinggi walaupun kadar inflasi dilaporkan rendah.

- Advertisement -

Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

“Apakah menteri melihat bahawa tindakan kerajaan memperkenalkan pelbagai cukai baharu, meningkatkan kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), memperluaskan skop SST termasuk kepada sektor logistik serta menaikkan harga diesel yang semuanya dilaksanakan secara hampir serentak telah menyumbang kepada kenaikan harga barang dan tekanan kos sara hidup ini,” katanya.

Beliau turut meminta penjelasan mengenai jangkaan kerajaan terhadap kenaikan harga barang dan kos sara hidup rakyat pada masa akan datang, khususnya apabila gaji minimum serta harga petrol dijangka meningkat pada tahun hadapan.

Di samping itu, beliau bertanya tentang strategi kerajaan untuk meningkatkan pendapatan tanpa membebankan rakyat, terutamanya dalam konteks usaha diversifikasi sumber pendapatan yang perlu menjadi fokus reformasi fiskal kerajaan.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying berkata, kerajaan memahami dan prihatin terhadap beban kos sara hidup yang dihadapi oleh rakyat, terutama dalam suasana ekonomi yang mencabar kini.

“Langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan termasuk memperkenalkan beberapa cukai serta perubahan kepada kadar dan skop SST adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan hasil negara bagi memastikan pembangunan negara dapat diteruskan secara mampan dan untuk memperkukuh kedudukan fiskal kita,” ujarnya. – HARAKAHADAILY 11/11/2024

- Advertisement -