Peranan penjaja, peniaga kecil bangunkan negeri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Kedah disarankan memainkan peranan membantu memperkasa  golongan tersebut di negeri ini, kata Exco Keusahawanan Negeri, Dato’ Mohd Salleh Saidin.

- Advertisement -

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Perwakilan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Kedah Kali Ke- 34 di Dewan INSPIN, di sini semalam.

“Persatuan ini mempunyai kekuatan tersendiri dan berpotensi besar untuk memberi impak positif kepada komuniti penjaja dan peniaga kecil di Kedah. Melalui suara mereka, pelbagai masalah dapat diselesaikan dengan lebih berkesan,” katanya.

Justeru kata Dato’ Salleh, dengan kekuatan lebih daripada 19,000 ahli, persatuan itu mampu menjadi platform utama untuk memperjuangkan kebajikan serta kepentingan dan hak ahli khususnya.

Dalam pada itu, beliau juga menegaskan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap penjaja dan peniaga kecil, di mana sebanyak RM1 juta diperuntukkan untuk membantu golongan berkenaan telah diluluskan pada Bajet Kedah 2024.

Oleh itu katanya, sewajarnya peluang itu dimanfaatkan untuk
meningkatkan lagi daya saing dan kemampanan perniagaan dalam kalangan para peniaga di negeri ini terutama penjaja dan peniaga kecil.

ADUN Kubang Rotan itu turut menekankan kepentingan peranan serta penglibatan para penjaja dan peniaga kecil membantu menjayakan Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025.

“Sebagai tuan rumah kepada ribuan pelancong yang dijangka melawat Kedah tahun hadapan, kita perlu memberikan layanan terbaik kepada mereka. Jangan sesekali menyalahgunakan kesempatan yang ada dan berlaku jujur demi keberkatan serta keuntungan jangka panjang.

“Pengalaman yang mereka rasakan di Kedah, bukan sahaja melalui produk yang dijual, tetapi juga melalui layanan mesra dan profesional, akan menjadi kenangan yang tidak dapat dilupakan,” ujar beliau.

Dalam pada itu, beliau menyeru anggota persatuan agar menjadikan mesyuarat agung itu sebagai medan untuk berbincang mengenai hala tuju dan strategi perdasatuan.

Terutama katanya, bagi memastikan penglibatan mereka dalam memajukan industri pelancongan dan keusahawanan terus berkembang seiring dengan visi Kerajaan Negeri.

“Saya juga berharap agar kerjasama yang lebih erat dapat dijalinkan antara Kerajaan Negeri dan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Kedah.

“(Iaitu) untuk memacu ekonomi tempatan dan memperkukuhkan lagi sektor keusahawanan di negeri ini,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -