Integriti adalah prinsip, maruah dan keberkatan

Rasuah adalah jenayah, penyakit dan kerosakan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Setiap agensi kerajaan negeri mesti menjauhi jenayah rasuah kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang negara, tetapi bercanggah dengan hukum agama.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, rasuah adalah penyakit yang akan merosakkan integriti dan imej organisasi.

Pada masa yang sama katanya, ia mampu mengancam keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap sebuah organisasi besar seperti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

“Sebagai sebuah keluarga besar dalam AKSB, kita semua memikul tanggungjawab bersama untuk menjaga amanah yang telah diberikan. Integriti yang tinggi perlu diterapkan dalam setiap aspek kerja, bukan hanya demi organisasi.

“Tetapi juga sebagai contoh untuk anak-anak dan keluarga di rumah,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Integriti dan pelancaran Buku Pelan Anti Rasuah Organisasi AKSB 2024-2028, di pejabat AKSB, di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis itu, Pengurus Besar AKSB, Izani Ismail serta lain-lain pegawai kanan.

Katanya, sebagai umat Islam, maruah dan keberkatan ketika mencari rezeki harus menjadi keutamaan kepada semua agar keluarga hidup dalam suasana yang diberkati.

“Saya berharap tiada seorang pun dalam AKSB yang sanggup menggadaikan prinsip ini demi kepentingan peribadi,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru kakitangan AKSB semua peringkat supaya melaksanakan tanggungjawab bersama dalam membina persekitaran kerja yang bersih, telus, dan bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Tambahnya, melalui kaedah itu kakitangan AKSB dapat menyumbang kepada masyarakat dengan penuh makna serta menjaga keharmonian dan integriti dalam keluarga besar AKSB.

Kerajaan Kelantan dalam tempoh 34 tahun pentadbirannya masih kekal bersih dari gejala rasuah. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -