Gubal undang-undang khusus teknologi AI

Dato' Abdul Khalib Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kemajuan pesat dalam bidang kecerdasan buatan (AI) memberikan manfaat tetapi menimbulkan kebimbangan mengenai etika dan keselamatan yang berpotensi memberi kesan buruk kepada negara dan rakyat jika tidak dikawal.

- Advertisement -

Dato’ Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) berkata, kerajaan perlu merancang untuk mengatasi isu kebocoran data peribadi yang melibatkan teknologi AI.

“Adakah kerajaan bercadang untuk menggubal satu undang-undang khusus berkaitan dengan AI memandangkan pengaruh keberkesanan serta implikasinya sangat besar terhadap semua bidang dan industri global hari ini.

“Saya mengambil contoh AI kini mampu menghasilkan gambar bergerak individu yang telah meninggal dunia dan meniru suara mereka hampir seratus peratus kesamaannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Dalam soalan asal, beliau minta Menteri Digital menyatakan jaminan bagi memastikan kod etika dan perlindungan data privasi dapat dikawal daripada berlakunya ketirisan dalam perkembangan pesat penggunaan teknologi AI di Malaysia, hari ini.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata kementeriannya akan terus menjalinkan kerjasama strategik merentasi sektor awam dan swasta agar dapat meminimumkan insiden ketirisan data peribadi pada masa hadapan.

Gobind berkata, ia melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif termasuklah penganjuran program literasi AI, pembangunan rangka kerja kawal selia dan Pelan Tindakan Teknologi AI 2026-2030.

“Kesemua gerak kerja ini berupaya untuk memastikan semua pihak berkepentingan lebih bersedia dalam menangani sebarang insiden yang tidak diingini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2024

- Advertisement -