
BATU PAHAT: Kemenangan politik dan menerajui kuasa pemerintahan mesti menjadi agenda umat Islam kerana jika tidak akan terjadi seperti pengajaran yang Allah tunjukkan di bumi Palestin apabila dijajah Yahudi.
Preiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan demikian Ceramah Perdana sempena Sambutan 70 Tahun PAS Johor di Kompleks PAS Kawasan Batu Pahat, Kampung Sungai Tongkang, Rengit, di sini semalam.
“Tapi mujurlah orang Palestin itu dia berjuang. Dia berjuang, dia balik semula (dapat pertahan bumi Palestin). Kita (di Malaysia) ni tak tahulah apa nak jadi. Nauzubillah. Jadi kita masih lagi dalam keadaan yang baik.
“Kita memilih cara yang damai, cara demokrasi, cara mengundi bukan cara perang. Saya beritahu kawan-kawan Arab dalam perbincangan forum. Dengan kaum Arab saya mengatakan jangan pilih cara perang. Pilih cara damai.
“Kita sama-sama kita. Kalau kita sama-sama kita pilih cara perang akan jadi perang proksi. Negara asing akan bantu pihak ni, bantu pihak ni. Kita berperang sama-sama kita dalam negeri beli senjata dengan duit kita, berbunuh sama-sama kita.
“Ini sangat malang. Tak boleh. Ambil cara peningkatan, damai. Macam baru inilah dia bawa gerakan reformasi sebagai contoh. Saya sebut dalam Parlimen baru ni. Gerakan Reformasi suruh turun di jalan raya, nak jatuhkan kerajaan.
“Memang kita nak jatuhkan kerajaan, turunlah jalan raya berarak. Yang paling banyaknya orang PAS-lah. Bertumbuk dengan polis. Kita Melayu, polis pun Melayu. Setengah itu anak-beranak sampai berkelahi bertumbuk sama sendiri.
“Tiba-tiba macam lesung dengan alu berlaga, yang kenyangnya ayam. Kita berlaga-laga, orang lain jadi Perdana Menteri. Naik, kuat, ambil alih kuasa pemerintahan itu itu ikut kemahuan dia,” ujarnya mengajak pembetulan dilakukan.
Tegasnya, orang Melayu-Islam mesti bersatu dan menerajui pemerintahan negara ini atas kesedaran bahawa kemenangan dan kuasa politik adalah wajib mudhayyad iaitu mesti disegerakan, berbanding wajib muwassaq yang boleh ditangguhkan.
Beliau menyatakan demikian bersandarkan perjanjian Hudaibiyah yang dimeterai Nabi SAW dengan pihak Quraisy sebagai mendapat kemenangan politik dan menangguhkan ibadah umrah walaupun telah berihram ketika itu.
Tuan Guru menyeru supaya perkara tersebut difahamkan kepada umat Islam di negara ini dan mengajak parti-parti politik Melayu-Islam terutamanya PAS, Umno dan BERSATU untuk bersama bagi mencapai perkara tersebut.
Namun malang katanya, apabila Umno kerana ditawarkan oleh DAP jawatan Menteri Besar, menolak penyatuan orang Melayu-Islam menyebabkan parti itu menubuhkan kerajaan bersama Pakatan Harapan di Pahang, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.
Tuan Guru dalam ceramahnya itu terdahulu menceritakan pertemuan beliau bersama Perdana Menteri Ke-7, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai antara usaha penyatuan dan pemimpin itu mengakui kuasa politik Melayu-Islam yang terhakis. – HARAKAHDAILY 10/11/2024











