Konsep mengenal Allah jadikan PASTI unik dari tadika lain

Antara persembahan murid PASTI yang diadakan
- Advertisement -

KANGAR: Mengenal Allah menjadi tarikan utama dalam pembelajaran atau pendidikan di Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) selain dari membaca, menulis dan mengira.

- Advertisement -

Naib Yang Dipertua PAS Kawasan, Mohd Zairi Abu Bakar berkata, keistimewaan PASTI terletak pada penambahan elemen ‘Mengenal Allah dan Rasul’ sebagai nilai tambah kepada kurikulum asas 3M yang lazim digunakan di pusat pendidikan lain.

“Pendekatan spiritual ini akan memberi manfaat besar kepada pembangunan sahsiah dan moral kanak-kanak, menjadikan mereka lebih berguna serta berperanan positif dalam masyarakat,” katanya.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Alam Ria PASTI Kawasan Kangar yang diadakan di Pusat Dakwah dan Tarbiyah Matin, di sini semalam.

ADUN Kayang, Asrul Aimran Abd Jalil yang juga merupakan bekas pelajar PASTI dalam pada itu menyambut baik inisiatif ini dan menekankan kepentingan mengembangkan bakat serta sahsiah pelajar sejak usia awal.

“Di PASTI, kita bukan hanya memberi penekanan kepada pencapaian akademik tetapi juga pembangunan sahsiah yang seimbang,” ujarnya.

Asrul menekankan, usaha mendidik generasi muda ini sesuai dengan seruan Nabi Muhammad SAW untuk menjadi individu yang bermanfaat kepada masyarakat sekeliling.

“Pendidikan di PASTI bukan sahaja berfokus kepada aspek akademik, tetapi turut merangkumi aspek ibadah, akidah, dan pembangunan moral.

“Dengan pendekatan holistik ini, PASTI berharap dapat melahirkan generasi yang cemerlang bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga akhlak, selaras dengan nilai-nilai Islam yang menyeluruh,” ujarnya.

Hadir sama Pengarah PASTI Negeri, Abd Hadi Halipah dan Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan, Azizi Syam serta Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan, Ustazah Rokiah Ab Lateh. HARAKAHDAILY 10/11/2024

- Advertisement -