Islam mesti pimpin untuk beri keadilan kepada semua

- Advertisement -

BATU PAHAT: Islam mesti memimpin pemerintahan kerana hanya orang Islam mempunyai akidah yakni iman yang menghitung dan tunduk kepada peraturan dosa pahala, kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

“Beza dia apa? Katalah Islam mengharamkan rasuah. Undang-undang manusia juga melarang rasuah. Tapi kalau pakai undang-undang manusia, tak ada dosa pahala. Kita boleh kelentong, boleh tipu, boleh rasuah. Tak ada apa-apa.

“Dapat duit banyak, lepas pergi umrah, dengan duit yang banyak itu, tak jadi masalah. Tapi Islam mengajar kita, kita menipu macam manapun lepas daripada dunia, akhirat ada lagi. Dibicarakan. Benda itu diharam. Ini beza,” jelasnya.

Terang Tuan Guru, penting orang Islam memimpin adalah untuk memberi keadilan kepada seluruh manusia di mana perkara tersebut telah terbukti dalam sejarah antaranya melibatkan pemisahan kuasa kehakiman, legislatif dan eksekutif.

Cerita beliau, Nabi SAW sendiri sebagai pemimpin negara meletakkan kes dihadapi Baginda dengan seorang Badwi dalam hal pembelian kuda untuk diputuskan oleh seorang hakim yang dalam peristiwa itu ialah Suhail ar-Rum RA.

Malah, perkara seumpama pernah berlaku kepada Khalifah Ali KW dengan seorang Yahudi dalam kes baju perisai di mana hakim perbicaraan adalah Syurih al-Khandi yang kerana keadilan kes ini menyebabkan Yahudi itu bersyahadah.

Tuan Guru turut menceritakan juga beberapa lagi kisah seumpama di mana sikap keadilan itu turut menunjukkan bahawa Islam tidak menghambakan dan memaksa orang bukan-Islam untuk menganut Islam.

Malah katanya, dapat dilihat apabila Islam memasuki sesuatu negeri, walaupun penganutnya masuk Islam, namun rumah ibadat agama lain kekal wujud, selain dalam pelbagai teori dibahaskan kesan dari petang mengakui Islam menakluk hati.

Kerana itulah menurutnya, usaha menyekat Islam diadakan dengan pelbagai cara untuk memastikan ia tidak berkuasa dan dianggap paling bahaya berbanding ideologi-ideologi lain, termasuk dalam konteks politik di Malaysia.

“Pilihan raya yang mutakhir. Ini kesilapan kita juga. Kerana memberi kerakyatan kepada orang bukan-Islam, longgar menyebabkan kefahaman politik mereka lebih kefahaman politik orang Melayu Islam, lemah. Orang Melayu Islam tak penting hal-hal politik ini.

“Siapa memerintah sama saja asal dapat duit sudah. Itu saja. Ada pun orang bukan-Islam ada agenda politik dia. Ini berlaku. Menyebabkan dalam pilihan raya lalu, kerajaan kita didominasi oleh orang bukan Islam. Ini sangat bahaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024

- Advertisement -
- Advertisement -