
KOTA BHARU: Kelantan bukan sahaja terkenal dengan makanan dan tempat pelancongan menarik, sebaliknya mempunyai pelbagai jenis gendang dari pelbagai etnik kaum di negeri ini.
Timbalan Menteri Besar, Dato’ Mohamed Fadzli Hassan berkata, irama dan bentuk gendang pelbagai kaum di negeri ini adalah lambang kesatuan masyarakat yang telah terjalin sejak sekian lama.
Menurutnya, gendang bukan sekadar hiburan, tetapi mempunyai nilai murni lebih daripada itu, iaitu keharmonian pelbagai kaum Melayu, Cina, Siam dan India.
“Malam ini kita gabungkan pelbagai etnik di negara kita ini khususnya di Kelantan melalui irama gendang masing-masing pada satu program khas yang diadakan khusus untuk mereka.
“Keunikan bangsa pelbagai kaum ini telah melahirkan kebudayaan yang pelbagai dan kita bangga untuk ditonjolkan pada masyarakat di luar sana.
“Kerana ia sebagai simbol perpaduan di negeri kita,” katanya ketika berucap merasmikan program Palu Fest (Festival Gendang Antarabangsa 2024 di Kelantan).
Program berkenaan diadakan di Dataran Stadium Sultan Muhammad Ke-1V, di sini malam kelmarin.
Palu Fest anjuran bersama Kerajaan Negeri Kelantan, Pusat Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) dan lain-lain.
Turut hadir pada majlis itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Kamarudin Md Nor.
Juga Setiausaha Bahagian Dasar Kebudayaan, Kementerian Seni dan Budaya, Wan Azilawati Wan Mahmood dan lain-lain pimpinan.
Selain persembahan gendang masyarakat India, Cina dan Siam, peserta dari Indonesia dan Thailand juga hadir untuk mempersembahkan gendang mereka.
Kata Fadzli, Kelantan bukan sekadar kaya dengan adat dan budaya, tetapi terbuka menerima seni luar yang beretika.
“Islam menghargai seni yang membina dan menekankan adab dalam berinteraksi. Terima kasih kepada Majlis Kebudayaan Negeri Kelantan dan semua pihak yang menjayakan acara ini.
“(Juga kepada) peserta antarabangsa dari Thailand dan Indonesia yang hadir untuk memeriahkan festival,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 10/11/2024












