TOK2024 dianjur sejajar TMK2025 dan TMM2026

- Advertisement -

ALOR SETAR: Temasya Oghang Kedah (TOK) 2024, bukan sahaja acara yang menghimpun segala keindahan dan kemeriahan sedia ada di negeri ini, malah menyerlahkan lagi keunikan Kedah yang tersendiri.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin berkata demikian dalam ucapan perasmian TOK 2024 di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini malam tadi.

TOK 2024 juga menurutnya, merupakan usaha Kerajaan Negeri menzahirkan kecintaan dan menggemilangkan khazanah seni budaya yang bukan sahaja diwariskan, tetapi juga untuk memartabatkannya.

“Kedah merupakan negeri yang unik, bukan sahaja mempunyai keindahahannya tersendiri tetapi Negeri Jelapang Padi ini juga kaya dengan warisan sejarah, budaya, tradisi, dan adat resam.

“Ia kemas terjaga serta elok terpelihara, di samping kehijauan sawah padinya yang terbentang luas,” kata beliau yang juga ADUN Kubang Rotan dalam ucapan itu.

Dalam pada itu ujarnya lagi, TOK 2024 merupakan manifestasi daripada rasa cinta, penghargaan dan kebertanggungjawaban terhadap segala warisan seni budaya yang telah diturunkan oleh generasi terdahulu.

Di samping usaha-usaha itu juga jelas Dato’ Mohd Salleh, adalah untuk merancakkan sektor pelancongan di Kedah bersesuaian Tahun Melawat Kedah (TMK) tahun depan.

“Sekarang ini masih berlangsung program ‘Mai Singgah Alor Setar 2024’ dan TOK 2024 ini juga sudah tentu mampu memberi suntikan tambahan ke arah memeriahkan lagi program tersebut.

“(Dan) kedua-dua program ini pula, antara usaha mempromosi TMK 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambah ADUN Kubang Rotan itu lagi.

Sementara itu, turut menyampaikan ucapan adalah Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni Dan Budaya, Datuk Mohd Yusri Mohd Yusof.

Selain dihadiri, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Mohd Amran Mohd Haris dan Yang DiPertua Kumpulan Bangsawan Sri Kedah, Zainol Ismail.

Juga Ketua Pegawai Eksekutif, Group Sdn Bhd (NB Group), Nabilah Bahrin dan Yang DiPertua Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka, Ahmad Hakibi Abdullah.

Kata Dato’ Salleh lagi, TOK 2024 asalnya dijadualkan pada 26 hingga 29 September lalu, namun terpaksa ditangguh ke hari ini kerana ketika itu Kedah menghadapi musibah banjir.

“Saya mengucapkan syabas kepada semua pihak yang bertungkus lumus menjayakan TOK 2024, termasuk orang ramai yang datang beramai-ramai membanjiri perkarangan stadium ini.

“Sokongan ini mengukuhkan lagi keazaman dan iltizam pihak saya bagi memastikan usaha memperkasakan sektor pelancongan di Kedah mencapai matlamatnya, sejajar dengan misi besar TMK 2025,” tambah beliau.

Beliau juga menekankan, TMK 2025 harus menjadi misi yang bukan calang-calang kerana ia adalah salah satu daripada teras yang mendukung agenda yang lebih besar.

Iaitu jelasnya, dalam pembinaan ‘The Greater Kedah’, yang menjadi agenda utama kerajaan pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

TMK 2025 juga katanya, memberikan fokus khusus kepada merancakkan pelancongan di Tanah Besar Kedah di samping meneruskan usaha mengangkat Pulau Langkawi yang sedia tersohor itu ke mercu lebih gemilang.

Sehubungan itu beliau mengharapkan melalui penganjuran TOK 2024 yang berlangsung selama empat hari bermula kelmarin, dapat mencapai sasaran 100,000 pengunjung dan merancakkan karnival jualan sepanjang tempoh itu.

Sementara, sempena majlis berkenaan, Persatuan Persilatan Negeri Kedah menerima sijil ‘Malaysian Books Of Record’ berikutan menempa sejarah kehadiran ahli persilatan ke temasya itu seramai 1,931 orang. – HARAKAHDAILY 9/11/2024

- Advertisement -