
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sentiasa berusaha menyantuni keperluan rakyat terutamanya golongan B40 untuk menyediakan perumahan yang mampu dimiliki dan berdaya huni.
Menterinya berkata, ntara inisiatif kementerian dalam menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) adalah melalui Program Perumahan Rakyat (PPR) yang terbahagi kepada dua skim iaitu Skim PPR Disewa dan Dimiliki.
Sehingga kini, ujarnya terdapat 166 projek PPR di seluruh negara dengan pengisian sebanyak 94.4 peratus.
Daripada jumlah tersebut, jelasnya sebanyak 22 PPR adalah di bawah seliaan KPKT yang melibatkan 20 PPR di bawah Skim PPR Dimiliki manakala dua PPR lagi di bawah Skim PPR Disewa (PPR Pasir Mas dan PPR Lembah Subang 1).
“Selebihnya iaitu 144 projek PPR lain adalah di bawah pengurusan negeri masing-masing,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Mohd Hasnizan Harun [PN-Hulu Selangor] di Dewan Rakyat, semalam.
Mohd Hasnizan menerusi soalannya meminta Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan menyatakan bilangan dan peratusan pemilik rumah PPR yang dikesan telah menyewakan unit kediaman mereka kepada pekerja-pekerja asing dan PATI serta jelaskan tindakan yang telah diambil oleh kementerian bagi menangani masalah tersebut.
Kata menteri itu lagi, salah satu syarat kelayakan yang ditetapkan bagi program PPR adalah pemohon dan pasangan mestilah berstatus warganegara Malaysia.
Tambahnya, berdasarkan perjanjian di antara pihak kerajaan dan peserta PPR, di bawah klausa ‘Obligasi Penyewa’, telah dinyatakan bahawa peserta tidak dibenarkan untuk menyewakan atau menyerahhakkan atau melepaskan milik atau memindahkan apa-apa bahagian unit tersebut (unit PPR) kepada individu lain, termasuklah warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada pihak kerajaan.
“Sekiranya dikesan berlaku kes penyewaan sublet kepada pihak ketiga sama ada kepada warganegara, warga asing atau mana-mana pihak lain, peserta yang melanggar perjanjian ini akan diberikan notis amaran dan seterusnya kontrak penyewaan boleh dibatalkan,” katanya.
Katanya, kementerian memandang serius dan akan mengambil tindakan yang tuntas dalam menangani isu ketidakpatuhan terhadap perjanjian.
Ini juga, jelasnya mencakupi segala syarat-syarat yang telah ditetapkan dalam perjanjian seperti pengubahsuaian struktur, kegagalan membayar sewaan/bayaran bulanan atau menyebabkan sebarang kacau-ganggu yang menjejaskan ketenteraman di PPR.
Katanya, berhubung dengan bilangan dan peratusan pemilik rumah PPR yang telah menyewakan unit PPR kepada pekerja asing atau PATI, setakat ini kementerian tidak pernah menerima sebarang aduan rasmi atau laporan berkenaan isu ini.
Walau bagaimanapun, ujarnya sebagai langkah proaktif, kementerian telah mengadakan program pemeriksaan bagi PPR bagi menangani cabaran ketidakpatuhan peserta PPR terhadap perjanjian ini.
“Buat masa ini, proses pemantauan peserta-peserta PPR sedang dilaksanakan oleh ejen-ejen pengurusan yang dilantik bagi mengenal pasti penduduk yang tinggal di unit PPR berkenaan,” katanya.
Selain itu, katanya KPKT akan sentiasa menjalankan pemantauan secara berkala bagi mengelakkan peserta melanggar syarat pematuhan menduduki PPR Disewa.
Menurutnya, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berkaitan ketidakpatuhan, termasuk pemilik rumah PPR yang didapati menyewakan unit kediaman kepada pekerja asing atau PATI, boleh melaporkan terus kepada kementerian untuk tindakan lanjut oleh pihak KPKT.
“Tindakan ini diambil bagi memastikan PPR kekal sebagai program perumahan khusus untuk warganegara Malaysia yang memerlukan serta mengelakkan manipulasi ke atas unit-unit kediaman,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 8/11/2024











