Menara Semarak20: ‘FELCRA sendiri bentang laporan’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen menegaskan bahawa semua maklumat dan fakta terkandung dalam Laporan Tindakan Susulan Pegawai Pengawal Terhadap Syor PAC diperoleh daripada Kementerian, Jabatan, dan Agensi yang hadir dalam prosiding.

Pengerusi PAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin berkata, itu termasuk maklumat isu penjualan Menara Semarak20 yang dilaporkan dalam Laporan Tindakan Susulan Menteri Kewangan (Diperbadankan), Kementerian Kewangan Malaysia.

- Advertisement -

Juga maklumnya, daripada Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah berkaitan Syor-syor Laporan PAC Parlimen mengenai FELCRA Berhad.

“PAC tidak ‘tangkap muat’ maklumat yang dilaporkan dalam laporan mengenai FELCRA terutama sekali berhubung isu penjualan Menara Semarak20.

“Semua makumat dan fakta yang diperoleh PAC dalam laporan berkenaan adalah didapati daripada pembentangan oleh FELCRA sendiri ketika prosiding.

“(Prosiding itu) turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” ujar beliau dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa semua pihak, termasuk Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, membaca dan meneliti semua fakta serta maklumat yang dilaporkan dalam laporan tersebut sebelum membuat sebarang tuduhan terhadap PAC.

Menurutnya, PAC merupakan jawatankuasa bipartisan yang dianggotai oleh 14 Ahli Dewan Rakyat, termasuk sembilan wakil kerajaan dan lima wakil pembangkang.

Beliau berkata, jawatankuasa itu turut dibantu oleh tujuh wakil tetap (ex officio) dari pelbagai kementerian, iaitu Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kewangan, Jabatan Perkhidmatan Awam.

Selain katanya, Jabatan Audit Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Kementerian Ekonomi, dan Jabatan Akauntan Negara.

Beliau menjelaskan bahawa, sebelum PAC membentangkan laporannya di Dewan Rakyat, ia perlu melalui proses yang rumit untuk mengesahkan segala rumusan, syor, dan ulasan, serta mendapatkan persetujuan konsensus daripada semua Ahli PAC, termasuk ex-officio PAC.

“PAC tidak akan memanggil mana-mana pihak lagi untuk memberikan segala maklumat dan fakta berhubung penjualan Menara Semarak20 kerana dua laporan berhubung bangunan berkenaan telah dikeluarkan.

“Bagaimanapun, PAC akan berbincang untuk membuat keputusan bagi membahaskan laporan tindakan susulan mengenai FELCRA ini di Dewan Rakyat seperti yang pernah dibuat untuk laporan mengenai HRDCorp pada Julai lalu.

“Penerangan Pengerusi PAC dalam Dewan Rakyat adalah medan terbaik untuk rakyat mengetahui sama ada maklumat yang diperoleh PAC adalah ‘tangkap muat’ atau tidak.

“Dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah juga boleh turut serta dalam perbahasan berkenaan bagi mempertahankan penjualan Menara Semarak20 yang sehingga kini masih belum terjual,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/11/2024

- Advertisement -