
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia dan masyarakat dunia diseru mengambil tindakan lebih tegas dalam menangani isu enam anggota MALBATT yang cedera akibat serpihan letupan serangan Israel di Lubnan.
Ketua Pemuda PAS Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, kerajaan juga diminta memastikan perlindungan lebih baik diberikan kepada semua anggota pengaman yang berkhidmat di bawah panji Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Pemuda PAS menzahirkan rasa simpati dan solidariti terhadap enam anggota pasukan pengaman Malaysia yang tercedera akibat serangan tentera Israel di Lubnan.
“Kejadian ini dilaporkan berlaku akibat terkena serpihan ledakan sebuah kereta warga Lubnan yang diserang dron Israel ketika sedang mendekati pos pemeriksaan.
“Keadaan ini bukan sahaja mencetuskan kebimbangan, malah menunjukkan kekejaman berterusan oleh tentera Israel yang melanggar undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia.
“Kami berasa amat prihatin terhadap keselamatan semua anggota pasukan pengaman yang bertugas di kawasan konflik demi menegakkan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya menerusi kenyataan di Facebook pada Jumaat.
Menurutnya, anggota pengaman telah menunjukkan dedikasi dan keberanian yang tinggi dalam melaksanakan amanah ini, dan tindakan biadab ini seharusnya dikecam sekeras-kerasnya oleh masyarakat antarabangsa.
“Pemuda PAS mendoakan semoga Allah SWT melindungi semua anggota pengaman kita dan memberikan keselamatan serta keamanan kepada mereka dalam menjalankan tanggungjawab yang mulia ini,” katanya.
Dalam kejadian jam 1:54 tengah hari tadi (7:54 malam waktu Malaysia), lima anggota membabitkan MALBATT 850-12 yang baru tiba ke negara itu mengalami pelbagai cedera ringan termasuk seorang yang mengalami kecederaan di bahagian tangan (disyaki retak tangan kiri) dan seorang lagi anggota MALBATT 850-11.
Menurut kenyataan dikeluarkan ATM malam tadi, letupan itu menyasarkan sebuah kenderaan awam lain yang sedang menghala ke Beirut namun turut mengakibatkan kerosakan pada sebuah bas membawa anggota MALBATT 850-12.
Tentera Darat Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan membawa anggota pengaman MALBATT yang bertugas di bawah Pasukan Interim PBB (UNIFIL) sedang melalui sekatan jalan. – HARAKAHDAILY 8/11/2024











