Pembangunan atlet kebangsaan perlu secara holistik

Dato' Sri Saifuddin Abdullah
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melihat pembangunan atlet kebangsaan secara holistik, bermula dari peringkat kanak-kanak sehingga mencapai tahap profesional seperti Olimpik, kata Dato’ Sri Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

- Advertisement -

Beliau menekankan pentingnya pelaksanaan program kenal pasti bakat (talent identification) sejak dari awal persekolahan di peringkat tahun 1 hingga 3 di sekolah kebangsaan, diteruskan di peringkat universiti, dan seterusnya membawa mereka menjadi atlet profesional.

“Maknanya kita melihat pembangunan jangka panjang atlet, bukan sekadar tempoh lapan tahun tetapi melangkaui itu,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Waktu Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Menurutnya, pendekatan jangka panjang ini bukan sahaja akan melahirkan atlet berprestasi tinggi, tetapi juga membantu mewujudkan budaya sukan yang kukuh dalam masyarakat.

Menjawab soalan tersebut, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, pihaknya memerlukan kerjasama pelbagai pihak bagi membentuk ekosistem berkenaan.

“Kementerian Belia dan Sukan sahaja tidak mencukupi untuk membangunkan ekosistem ini, sejujurnya kita memerlukan banyak kerjasama daripada Kementerian Pendidikan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

- Advertisement -