Malaysia akan beri tumpuan kepada prinsip Kepusatan ASEAN

Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia akan memberi tumpuan kepada prinsip Kepusatan ASEAN melalui dialog dan diplomasi, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik antarabangsa dan integrasi ekonomi serantau, ke arah memelihara rantau yang aman, stabil, selamat dan makmur.

- Advertisement -

Menteri Luar Negeri berkata, dalam konteks hubungan luar ASEAN, Malaysia akan menggalakkan Rakan Dialog untuk menguruskan perbezaan mereka dengan penuh tanggungjawab serta mengelak ketegangan dari terus meruncing.

“Pada masa yang sama, Malaysia akan menekankan keperluan untuk ASEAN menolak sebarang pendekatan negatif dari luar yang boleh memecahbelahkan perpaduan ASEAN,” ujarnya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang [PN-Marang] di Dewan Rakyat, semalam.

Tuan Guru dalam soalannya meminta Menteri Luar Negeri menyatakan apakah hala tuju dan dan fokus utama yang disasarkan apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN 2025 khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik antarabangsa dan integrasi ekonomi serantau.

Dari segi integrasi ekonomi pula, kata menteri itu Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha untuk meningkatkan perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN yang dilihat masih berada di peringkat yang rendah.

Katanya, Malaysia yakin bahawa penaiktarafan, ‘ASEAN Trade in Goods Agreement’ (ATIGA) semasa Kepengerusian oleh Malaysia pada 2025 akan membantu usaha tersebut.

Pada masa yang sama, ujarnya Malaysia akan mengemudi usaha-usaha meneroka dan memperluas kerjasama dan perkongsian ekonomi di luar rantau ASEAN.

Tambahnya, penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 dan juga Sidang Kemuncak ASEAN + GCC + China adalah salah satu insiatif Malaysia ke arah matlamat tersebut.

Katanya lagi, semasa Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 juga, ASEAN akan melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan-pelan Strategiknya yang akan melakar hala tuju strategik rantau ini bagi dua puluh tahun akan datang.

“Sebagai Peneraju Utama, atau dengan izin, permanent shepherd, visi ini, Malaysia akan memastikan ia mampu berperanan sebagai dokumen teras yang akan menjadi kerangka utama dalam menyumbang kepada keamanan, kestabilan dan kerjasama berkekalan di rantau ini.

“Tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia adalah Keterangkuman dan Kemampanan,” ujarnya.

Menurutnya, matlamat Malaysia adalah untuk menggalakkan pembangunan, pertumbuhan dan kemakmuran di peringkat semua lapisan masyarakat secara mampan demi kesejahteraan rakyat. – HARAKAHDAILY 7/11/2024

- Advertisement -