
KUALA LUMPUR: Status beberapa rakyat Palestin yang baru-baru ini dibawa ke Malaysia memerlukan penjelasan daripada kerajaan, terutamanya dalam aspek kesihatan dan pendidikan.
Dato’ Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) berkata, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengenai pelan jangka panjang untuk membawa lebih ramai rakyat negara itu ke Malaysia.
Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan bagaimana kerajaan merancang untuk membantu mereka dalam aspek kesihatan dan pendidikan di negara ini.
Selain itu, Mumtaz berkata, Perdana Menteri baru-baru ini menjelaskan bahawa Malaysia bersetuju untuk memastikan Israel dibuang daripada keanggotaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Setakat ini apakah usaha yang lain yang telah pun dibuat oleh kerajaan dan adakah kita bersetuju untuk menjadi penaja kepada usul ini di peringkat PBB,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika mencelah pada sesi penggulungan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin, di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Mohamad Alamin dalam jawapannya berkata, Perdana Menteri juga menjelaskan bahawa tindakan untuk menangani kegagalan Israel dalam mematuhi undang-undang antarabangsa dan konvensyen PBB sedang dikaji.
Menurutnya, salah satu cadangan adalah untuk menyingkirkan Israel daripada badan dunia, dengan langkah itu akan terus dikaji oleh kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan Malaysia bekerjasama dengan Kementerian Pertahanan untuk membawa rakyat Gaza ke sini bagi mendapatkan rawatan di hospital tentera sebagai sumbangan kepada dunia. – HARAKAHDAILY 7/11/2024











