
KUALA LUMPUR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengadakan beberapa siri perbincangan bersama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia mengenai perwakilan kuasa di bawah seksyen 34A Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] bagi membolehkan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) oleh Jabatan PERHILITAN dapat dilaksanakan.
“Dalam hal ini, JAS telah menyediakan draf Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa Kepada Agensi) 2024 berhubung perwakilan kuasa kepada Jabatan PERHILITAN dan perintah ini dijadualkan untuk dimuktamadkan pada akhir tahun 2024,” ujar Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man [PN-Kubang Kerian] di Dewan Rakyat, semalam.
Tuan Ibrahim dalam soalannya meminta Menteri Sumber Asli Dan Kelestarian Alam menyatakan bilakah penguatkuasaan dan pematuhan Pelan Pengurusan Hidupan Liar (WMP) oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) dapat dilaksanakan memandangkan perwakilan kuasa oleh Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) tidak berlaku. – HARAKAHDAILY 7/11/2024











