Amaran banjir: Bagaimana kerajaan manfaat aplikasi AI?

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta untuk menjelaskan usaha yang telah dijalankan bagi menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dan ‘data raya’ dalam sistem amaran awal banjir.

- Advertisement -

Datuk Dr. Ahmad Marzuk Shaary (PN-Pengkalan Chepa) berkata, ia susulan kelewatan yang berlaku terhadap projek-projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) terutama di Pantai Timur.

“Apakah persediaan kerajaan dalam aplikasikan teknologi AI dan data raya dalam mengatasi masalah banjir ini?

“Apakah bentuk mitigasi yang lebih jitu dan mampan daripada kerajaan dalam mengurangkan risiko kesan daripada bencana banjir ini?” katanya.

Beliau menyatakan perkara ini sewaktu mengajukan soalan tambahan kepada soalan asal beliau sewaktu sesi ‘Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri’ di Dewan Rakyat hari ini.

Dr. Marzuk dalam soalan tambahannya itu turut memohon suatu jawapan yang lebih terperinci berkaitan dengan kelewatan itu walau pun dalam bentuk jawapan bertulis berkaitan kos yang ditanggung kerajaan atas kelewatan itu.

Dalam soalan asalnya beliau meminta Menteri Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA), menyatakan apakah langkah drastik Kementerian dalam menyelesaikan kelewatan projek tebatan banjir dan kesan langsung daripadanya dalam menghadapi jangkaan banjir besar di seluruh negara, khususnya di Pantai Timur.

Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof dalam jawapannya berkata, selain daripada projek fizikal melalui rancangan tebatan banjir, pihaknya juga membuat pendekatan menggunakan sistem dan teknologi seperti AI dan juga data raya.

Tambahnya, ia sudah terangkum dalam sistem yang dibangunkan oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) iaitu Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara singkatannya PRAB Fasa 3 yang dibangunkan PETRA.

“Dengan sistem ini kita mengharapkan daripada data-data yang dihimpunkan sama ada daripada telemetri dan juga meteorologi, maka data ini akan diakseskan melalui komputer.

“Kita akan dapat membuat ramalan awal di mana berlaku banjir bila berlaku banjir dan sebagainya dan ini akan dikongsi bersama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat dalam pengurusan banjir dan juga boleh di dikongsikan dengan masyarakat umum,” katanya.

Terdahulu dalam jawapan kepada soalan asal Dr. Marzuki, menteri itu berkata sebanyak 26 projek RTB seluruh Pantai Timur diluluskan dengan kos RM8 bilion di mana hanya satu siap dibina iaitu RTB Lembah Bertam Cameron Highland, Pahang.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menambah, 10 RTB lagi di peringkat pra perlaksanaan di mana lima darinya sudah diiklankan tender manakala lima lagi dalam proses rekabentuk.

Selain itu, 15 projek lagi dalam peringkat perlaksanaan di mana satu projek mengikut jadual, 14 lagi menghadapi masalah perlaksanaan disebabkan masalah pengambilan tanah dan pengalihan utiliti di mana mereka telah diberi penangguhan masa. – HARAKAHDAILY 5/11/2024

- Advertisement -