Pokok tumbang: Kajian tatacara penanaman perlu dibuat

Dato' Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kajian penilaian terhadap tatacara penanaman pokok serta pemilihan lokasi yang sesuai di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu dilaksanakan selain penyediaan kontraktor dan pakar pokok untuk kerja penyelenggaraan pokok.

- Advertisement -

Dato’ Sri Dr. Ismail Abd. Muttalib (PN-Maran) berkata, itu berikutan insiden pokok tumbang yang semakin kerap berlaku bukan sahaja mengancam keselamatan pengguna jalan raya, tetapi juga keselamatan awam secara keseluruhan.

“Dan terima kasih kepada Jabatan Landskap Negara (JLN) di atas peranan dimainkan.

“Dan apakah fokus utama dasar landskap negara 2.0 untuk memampankan pengurusan landskap negara dan mengurangkan kemalangan pokok tumbang di kawasan PBT?” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu dalam jawapannya berkata fokus utama Dasar Landskap Negara adalah pembangunan landskap mampan yang menekankan tiga strategi: memperkasakan rancangan pengurusan landskap, memperkukuhkan sumber tanah, dan menjadikan landskap sebagai pemangkin kesejahteraan masyarakat.

Menurutnya, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan melalui JLN telah menyediakan pelbagai garis panduan dan manual pengurusan landskap serta pokok teduhan untuk PBT.

Jelasnya, langkah pencegahan seperti pematuhan Akta Perancangan Bandar dan Desa, pemerkasaan kemahiran pegawai PBT, latihan pengurusan pokok, dan penilaian kawasan hijau juga giat dijalankan.

Sebelum itu, beliau menjawab soalan Dato’ Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan memandangkan negara kekurangan pakar pokok bertauliah (arborist), apakah tindakan Kementerian untuk menambah baik pengurusan landskap di setiap kawasan perbandaran bagi mengurangkan kemalangan berkaitan pokok tumbang yang sering berlaku. – HARAKAHDAILY 4/11/2024

- Advertisement -