
MARYAM diarahkan oleh Allah untuk menumpukan hidupnya kepada ibadah. Ibadah bukan hanya terbatas pada solat, tetapi merangkumi seluruh aspek kehidupan.
Menurut para ulama, jika dilakukan dengan niat yang betul dan selaras dengan ajaran agama, setiap aktiviti harian seperti makan, minum, bekerja, dan urusan lain juga boleh menjadi ibadah yang mendatangkan pahala.
Pahala tidak hanya datang daripada amalan seperti bertahlil, berzikir, atau membaca Al-Quran, tetapi juga melalui kegiatan hidup seharian yang dikerjakan dengan ikhlas.
Nabi Muhammad SAW adalah teladan terbaik dalam hal ini. Nabi tidak berada di masjid sepanjang masa, melainkan ketika waktu solat fardhu tiba. Baginda aktif dalam pelbagai aspek kehidupan, yang dapat dilihat melalui doa-doanya.
Setiap situasi dan keadaan dalam kehidupan Nabi mempunyai doa tersendiri, seperti doa ketika menaiki kenderaan, memasuki rumah, masuk kedai, tiba di tempat asing, atau ketika menziarahi orang sakit.
Ini menunjukkan bahawa kehidupan harian Nabi adalah satu bentuk ibadah yang berterusan, walaupun tidak terbatas kepada aktiviti ibadah formal di masjid sahaja.
Arahan untuk “rukuk bersama-sama orang yang rukuk” menekankan kepentingan solat berjemaah. Jika boleh, seseorang Muslim disarankan untuk menunaikan solat fardhu secara berjemaah, terutama sekali lima waktu solat.
Jika kesibukan tidak mengizinkan untuk solat berjemaah sepenuhnya, setidak-tidaknya utamakan solat Subuh secara berjemaah. Solat Subuh mempunyai keistimewaan yang tersendiri, kerana waktu ini adalah masa tenang sebelum bermulanya kesibukan hari.
Dalam hadis Nabi disebutkan bahawa dua rakaat solat sunat sebelum Subuh lebih berharga daripada dunia dan segala isinya, menunjukkan betapa besar nilainya. (Rujuk Riwayat Imam Muslim, 725).
Solat berjemaah juga mempunyai kepentingan yang tinggi dalam Islam. Dalam satu hadis, Nabi menyebut bahawa jika boleh, baginda ingin membakar rumah mereka yang tidak solat berjemaah. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari, 2420 dan Imam Muslim, 651).
Walaupun Nabi tidak melaksanakan ancaman tersebut, ia menunjukkan betapa pentingnya solat berjemaah dalam kehidupan seorang Muslim.
Solat berjemaah bukan sahaja menguatkan hubungan dengan Allah, tetapi juga mengeratkan silaturahim dan membina semangat kesatuan di kalangan umat Islam. – HARAKAHDAILY 4/11/2024
PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.




















