Palestin milik rakyat, penyelesaian dua negara tidak relevan

Ahmad Tarmizi Sulaiman
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) menegaskan bahawa penyelesaian dua negara atau ‘two-state solution’ bagi konflik Israel-Palestin kini tidak lagi relevan.

- Advertisement -

Beliau menggesa kerajaan Malaysia agar tidak lagi mengiktiraf pendekatan tersebut, memandangkan Israel tidak menunjukkan sebarang komitmen terhadapnya.

“Malaysia tidak lagi boleh mengatakan bahawa penyelesaian kepada konflik Israel-Palestin adalah melalui two-state solution, memandangkan ia tidak sedikit pun diendahkan oleh Israel.

“Mereka dengan begitu angkuh berusaha menguasai seluruh sebahagian Asia Barat, tetapi kita seakan-akan ‘hidung tak mancung pipi tersorong-sorong’,” kata Tarmizi ketika sesi Penerangan Perdana Menteri berkaitan isu Palestin di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga mengingatkan, pembebasan Palestin yang sebenar adalah hak mutlak rakyatnya sendiri dan tidak seharusnya dikompromikan dengan penyelesaian dua negara, yang hanya membatasi hak-hak Palestin.

 “Pembebasan mutlak Palestin adalah hak rakyat Palestin dan perjuangan ini akan diteruskan, sebagaimana yang telah dilakukan oleh pejuang-pejuang Hamas, termasuk As-syahid Ismail Haniyeh dan As-syahid Yahya Sinwar.

“Mereka adalah pejuang sejati rakyat Palestin,” tegas beliau.

Dalam masa yang sama, Tarmizi turut menyarankan agar Malaysia menghentikan sebarang sokongan ekonomi kepada entiti yang berkaitan dengan Israel.

Tegasnya, syarikat-syarikat besar seperti BlackRock, yang mempunyai pelaburan dalam sektor senjata, berpotensi memberi manfaat kepada pihak-pihak yang menyokong Israel.

“Penghindaran daripada pelaburan yang menyumbang kepada ekonomi penindasan akan memberi kesan moral dan ekonomi yang signifikan dalam menentang kezaliman yang dihadapi rakyat Palestin,” tambahnya, merujuk kepada laporan terbaru yang menunjukkan penglibatan syarikat-syarikat multinasional dalam sektor yang menguntungkan pihak yang menyokong Israel. – HARAKAHDAILY 4/11/2024

- Advertisement -