Maryam: Simbol kesucian dan ketakwaan

- Advertisement -

MALAIKAT menyampaikan berita kepada Maryam bahawa Allah telah memilihnya sebagai wanita istimewa di antara seluruh wanita pada zamannya.

Maryam dipilih kerana akhlaknya yang mulia dan kehidupannya yang penuh dengan ibadah sejak kecil lagi.

Allah mensucikan Maryam, memeliharanya daripada perbuatan syirik yang merupakan dosa paling besar dalam agama.

- Advertisement -

Syirik merosakkan keseluruhan kehidupan seseorang. Ia mengganggu pemahaman, gaya hidup, dan menyebabkan ibadah tidak diterima Allah.

Syirik terbahagi kepada dua jenis. Yang pertama ialah syirik besar, yang jelas terlihat seperti menyembah berhala secara terbuka, misalnya tokong, pokok, atau kubur. Ia merosakkan akidah secara keseluruhan dan menjerumuskan seseorang ke lembah kekufuran.

Syirik kedua ialah syirik kecil, yang sering tidak disedari oleh kebanyakan orang. Nabi menyamakan syirik kecil ini dengan semut hitam yang merayap di atas batu hitam pada waktu malam, yang mana sangat sukar dilihat. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, 551).

Syirik kecil ini, walaupun tidak merosakkan akidah, tetap boleh menyebabkan amalan seseorang menjadi sia-sia jika tidak diperhatikan. Syirik kecil termasuk sikap riak atau beramal untuk dipuji oleh manusia.

Maryam dipelihara Allah daripada segala perbuatan yang tidak baik. Dia terjaga daripada segala perkara yang boleh menjejaskan kehormatannya, seperti tidak bergaul dengan lelaki secara bebas, tidak melakukan perkara yang tidak sesuai dengan akhlak, dan sentiasa menjaga batasan dalam setiap tindak-tanduknya.

Jika dibandingkan dengan zaman sekarang, Maryam adalah contoh wanita yang menjaga maruah dan tingkah laku, tidak terlibat dalam pergaulan bebas, dan memelihara dirinya dari segala perbuatan yang tidak sesuai.

Keistimewaan terbesar Maryam ialah Allah memilihnya untuk mengandungkan seorang nabi, Nabi Isa, meskipun tanpa seorang ayah.

Dalam Surah Maryam, diceritakan bagaimana keajaiban ini berlaku, di mana Allah memberi Maryam satu ujian yang sangat besar tetapi juga sebuah penghormatan yang tiada tandingan.

Maryam menjadi simbol ketakwaan, kesucian, dan keikhlasan dalam menjalankan amanah Allah, dan kisahnya menjadi inspirasi yang kekal bagi seluruh umat manusia. – HARAKAHDAILY 3/11/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -