Amaran ribut petir di lapan buah negeri

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di lapan negeri, petang ini.

- Advertisement -

Agensi tersebut memaklumkan, antara negeri yang terbabit ialah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Johor dan Sabah.

“Antara kawasan yang terlibat di negeri Kedah ialah Kulim dan Bandar Baharu manakala di Pulau Pinang pula ialah Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Selatan.

“Sementara itu, antara kawasan yang terlibat di negeri Perak ialah Hilir Perak dan Muallim. Di Selangor pula ialah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.

“Selain itu, antara kawasan yang terlibat di negeri Johor pula ialah Pontian, Kota Tinggi dan Johor Bahru manakala di Sabah pula hanya dua kawasan sahaja iaitu Tawau dan Lahad Datu,” ujar kenyataan tersebut.

Menurut MetMalaysia lagi, cuaca tersebut dijangka berlaku sehingga jam 4 petang hari ini dan amaran ribut petir adalah bersifat jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran.

“Orang ramai boleh melayari laman sesawang MetMalaysia untuk mengetahui tahap cuaca terkini di Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/11/2024

- Advertisement -