Ulang tahun ke-34 MBI, Kelantan terkehadapan dalam pendidikan Islam

- Advertisement -

PAS yang telah berjaya membentuk kerajaan selepas kemenangan landslide victory dalam Pilihan Raya Umum 1990, 34 tahun lampau yang melakar sejarah. Penulis saat itu masih di tingkatan enam, masih terbayang takbir menggema di hadapan Dewan Majlis Daerah Marang, bukan sekadar euforia gembira kerana Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang memenangi Parlimen Marang namun berjangkit berita yang sangat manis bagi pendukung perjuangan Islam.

- Advertisement -

Menyala dan menggelegak berita pemuafakatan APU bersama Semangat 46, Hamim dan Berjasa membuahkan hasil cemerlang di Kelantan dan Terengganu juga tersimbah dengan gelombang Kelantan, menang 10 kerusi DUN dalam PRU 1990.

Semua lensa kamera dan pemberitaan media memfokuskan negeri Kelantan, dengan keunikan dan kebabilan berseberangan arus dengan negeri lain. Maka bermulalah dasar pemencilan rejim kepada Serambi Mekah ini lebih tiga dekad, berdada dengan seribu satu intimidasi dan diskriminasi sehingga membentuk karektor sebuah negeri pangkalan kuasa PAS.

34 tahun PAS memerintah Tanah Serendah Sekebun Bunga yang terkenal dengan keunikan budaya dan merupakan jantung hati orang Melayu negara ini. Melepasi tiga dasawarsa yang penuh dengan kekangan dan serangan bertali arus daripada musuh dan pesaing. Serambi Makkah ini mendapat reputasinya kerana menjadi pusat pendidikan Islam yang tersohor dalam abad ke 19 dan awal abad 20.

PAS berjaya merengkuh Kelantan dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1959 dengan tokoh-tokoh besar besar PAS bertanding di Kelantan seperti Prof. Zulkifli Mohamad, Haji Ahmad Prai dan tokoh-tokoh lain. PAS kehilangan Kelantan dalam Pilihanraya tahun 1978, bahkan hanya berjaya bertahan hanya dengan dua kerusi DUN sahaja. PAS terus bergerak, merancang, mengukuhkan pentarbiahan ahli, menggerakkan kesedaran awam untuk kembali menyokong PAS.

Aktivis PAS Kelantan dengan pelbagai latarbelakang pendidikan dan sosioekonomi terus menggempur Kelantan, negeri yang juga terkenal dengan bangsal tomoi, kemeriahan kedai kopi dan keunikan budaya. Nama-nama seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Zakaria Ismail, Ustaz Yahya Othman, Ustaz Mawardi Ahmad, Ustaz Wan Jamil Wan Mahmud, Ustaz Bunyamin Yaakob, Ustaz Wan Mustapha Wan Rusdi, Ustaz Omar Mohamad, Pak Suhail, dan ratusan tokoh penggerak parti.

Kelantan disuburkan dengan kuliah-kuliah ilmu, apatah lagi dengan simbahan kebangkitan Islam yang sedang merajai fenomena permulaan abad 15 Hijrah. Tekanan dan penindasan kepada PAS Kelantan seolah menyuburkan baja perjuangan, ditambah dengan perisa perbalahan dalaman UMNO, krisis pemimpin UMNO dan istana Kelantan maka mempercepatkan kejatuhan UMNO dalam pilihan raya tahun 1990.

Pilihan Raya Umum pada tahun 1990 telah memberikan kejutan yang besar kepada politik negara ini apabila telah berjaya menguasai semula Kelantan setelah tewas hanya menang berbekal ‘batu nisan’ pada tahun 1978.

Gelombang politik yang agak panas semenjak tahun 1987 telah menyebabkan UMNO sebagai parti teras orang Melayu telah berpecah dua apabila Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Semangat 46. PAS telah bergabung dengan Semangat 46 dan dua buah parti lain iaitu HAMIM dan Berjasa. Pemuafakatan politik ini dikenali sebagai Angkatan Perpaduan Ummah (APU)  dan telah berjaya memenangi negeri Kelantan dengan menyapu bersih semua kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum pada tahun 1990. PAS yang telah memenangi kerusi yang terbanyak telah mencadangkan Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat  sebagai Menteri Besar Kelantan.

Pelantikan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, seorang tokoh pendidikan  telah merancakkan perkembangan pendidikan Islam di Kelantan dan negeri itu cuba dipopularkan kembali dengan gelaran ‘Serambi Mekah’. Tuan Guru Nik Abdul Aziz seorang tokoh yang sangat memberikan perhatian yang besar dalam memperkasakan pengajian Islam sama ada formal atau tidak formal.

Beliau akan sentiasa bercakap tentang keperluan pendidikan Islam untuk membentuk masyarakat yang memahami Islam. Dalam pembentangan belanjawan negeri Kelantan, belanja pengurusan sekolah YIK sentiasa diberikan keutamaan. Ramai anak-anak luar Kelantan mencicip ilmu dipelbagai institusi pendidikan islam di negeri ini.

Sebagai langkah meningkatkan mutu sekolah agama, kerajaan negeri telah memberikan peruntukan besar kepada Yayasan Islam Kelantan (YIK), berbanding dengan agensi-agensi kerajaan yang lain. Peruntukan ini ditambah dari setahun ke setahun. Apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menjadi Menteri Besar Kelantan, perhatian kepada sekolah–sekolah agama diberi keutamaan. Kerajaan Kelantan memberikan perhatian istimewa kepada pendidikan Islam yang digerakkan oleh sekolah agama rakyat, pondok, tahfiz, termasuk pendidikan prasekolah seperti PASTI.

Di antara institusi pendidikan Islam yang semakin berkembang di Malaysia khususnya di Kelantan ialah sekolah tahfiz al Quran. Di negara ini kewujudan tahfiz menjadi fenomena dalam dekad 1990-an akibat kesedaran Islam yang semakin meluas di kalangan kelas menengah Melayu dan juga aktivis pendidikan Islam di Negara ini. Kelantan menjadi tapak subur kepada sekolah tahfiz Al Quran sama ada yang ditubuhkan oleh kerajaan ataupun yang ditubuhkan oleh pihak persendirian dengan bantuan daripada pihak kerajaan negeri yang diterajui oleh PAS.

Kerajaan Kelantan memandang serius keperluan untuk menubuhkan sebuah sekolah tahfiz berasrama penuh di mana kemasukan pelajarnya ditapis dengan syarat yang ketat. Kerajaan Kelantan akhirnya melalui idea Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah menubuhkan Maahad Tahfiz Pulai Condong (MTAQ) pada tahun 1992, pelajar-pelajar yang  mendapat sekurang-kurangnya empat ‘A’ dalam UPSR dengan kemampuan membaca al Quran dengan baik akan diterima belajar di sini. Maahad ini akhirnya menjadi sebutan negara apabila sentiasa muncul cemerlang dalam keputusan peperiksaan awam seperti PMR dan SPM.

Anak-anak Kelantan bertebaran keserata pelusuk dunia bermukim ilmu, mereka ini akhirnya membentuk kelompok kelas menengah dan menyumbang kepada proses perkembangan negara.

Kerajaan PAS di Kelantan telah memberikan perhatian yang besar kepada pembangunan pondok, bahkan juga oleh pemimpin PAS negeri itu sendiri dimana sebahagian besar pemimpin PAS Kelantan mempunyai hubungan secara langsung atau tidak langsung dengan institusi ini. Pembangunan pondok digiatkan dengan pelbagai bantuan telah diberikan, disetiap daerah di Kelantan diimarahkan pendidikan pondok termasuk digiatkan pelancongan ibadah. Pusat pendidikan Tinggi Pondok dibangunkan di Kandis Bachok bagi melatih para santri yang akan menjàdi ulama di masa akan datang.

Di antara institusi pengajian tinggi yang ditubuhkan oleh kerajaan Kelantan ialah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS). Kolej ini terletak di Nilam Puri yang bertujuan untuk menampung keperluan pendidikan tinggi yang berteraskan ajaran Islam, melahirkan generasi berpendidikan tinggi bagi menampung keperluan golongan intelektual Islam. Antara matlamat lain penubuhan kolej ini ialah untuk memberi pendidikan tinggi yang secukupnya kepada rakyat negeri Kelantan. KIAS juga telah mendapat penarafan sebagai kolej universiti dan juga semakin berkembang maju.

Kelantan telah membangun bersama Islam selama 34 tahun ini, dengan tidak meninggalkan aspek pembangunan spiritual. Negeri ini telah berjaya melakukan transformasi sosial dengan begitu efektif melalui wahana pendidikan. Legasi almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat telah diteruskan oleh kepimpinan Kelantan Dato’ Panglima Perang Nasaruddin Daud pada hari ini.

Semoga rakyat Serambi Mekah ini terus mendukung aspirasi ‘Membangun Bersama Islam’ untuk dekad yang mendatang, tiada sebab untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang telah membuktikan iltizam dalam melaksanakan tuntutan Ilahi. Kelantan ialah kampus politik terbuka untuk rakyat negara ini.

Telah 34 tahun, operasi perjudian, konsert hedonisme, hiburan bersalut kesyirikan, penjualan arak secara terbuka, tempat persundalan dan lain- lain kebejatan sosial telah dihapuskan di negeri berkah ini. Kerajaan kelantan wajar dihapuskan segala diskriminasi oleh kerajaan Pusat untuk terus mensejahterakan rakyat, contohnya isu air bersih, jaringan trafik, peluang pekerjaan untuk anak muda, pewujudan bandar-bandar satelit untuk menyuraikan kesesakan dan kepadatan demografi di bandar-bandar yang sedia ada.

Kelantan termasuk senarai teratas negeri paling selamat, ramai penjawat awam yang pernah berkhidmat di Kelantan memilih untuk memilih menghabiskan sisa usia mereka di Serambi Mekah ini. Saat seluruh negara geger dengan isu kenaikan barang-barang, masyarakat Kelantan masih boleh membeli sekilo daging dengan harga RM20.

Riduan Mohamad Nor

Setiap musim cuti persekolahan, Kelantan masih menjàdi destinasi utama pelancongan. Jalan raya berdesakan, kedai-kedai makan dipadati manusia dengan bervariasi makanan. Semoga Allah merahmati rakyat Kelantan dan menjaga setiap bentengnya daripada serangan musuh serta para pembencinya. – HARAKAHDAILY 1/11/2024

Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI.

- Advertisement -