
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Terengganu berusaha untuk memperkemaskan enakmen sedia ada biarpun usaha untuk memperkasakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah berdepan dengan halangan di peringkat persekutuan.
Anggota Exco kerajaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, Terengganu mengambil pendekatan melaksanakan apa yang dibolehkan berdasar peraturan sedia ada.
Katanya, bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya dibenar menjatuhkan hukuman maksimum pesalah syariah iaitu 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 sebatan.
“Namun kita masuk seksyen baharu setiap tahun dalam Kanun Jenayah Syariah Terengganu,” katanya pada forum sempena Ijtimak Tarbawi Pemuda PAS Malaysia di Pusat Tarbiyah Islamiyah Kelantan (Putik) malam ini.
Turut bertindak sebagai panelis ialah Exco Agama Kelantan Mohd Asri Mat Daud, Exco Agama Kedah Dato’ Mohd Azam Abdul Samad dan Exco Agama Perlis, Azmir Aizizan. Manakala Mohd Irshad bertindak sebagai moderator.
Dr Khalil juga berkata, Terengganu dan negeri lain di bawah kerajaan empat negeri (SG4) mempelajari apa yang dilaksanakan di Kelantan berkaitan usaha untuk memperkasakan Kanun Jenayah Syariah.
Mohd Asri pula berkata, SG4 diharap menjadi model kepada negeri-negeri lain dalam usaha memperkasakan perundangan Islam di negara ini.
Bagaimanapun katanya biarpun dasar Membangun Bersama Islam (MBI) dilaksanakan sejak 1990, namun tidak dapat dinafikan masih berlaku kes-kes yang bertentangan dengan amalan Islam termasuk kes bunuh diri.

“Ini merupakan cabaran yang dihadapi oleh Kelantan biarpun dasar MBI sudah lama kita laksanakan,” ujarnya.
Mohd Azam pula berkata, Kelantan menjadi abang besar dalam aspek pembangunan Islam dan pentadbiran negeri kepada SG4 yang boleh dicontohi. – HARAKAHDAILY 1/11/2024











