Tanam padi huma alternatif hadapi kesan cuaca

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah yang menggiatkan usaha untuk meningkatkan pengeluaran beras antaranya menerusi penanaman padi huma atau padi darat telah mula menampakkan hasil tersebut.

- Advertisement -

Halaman kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, di sini juga terdapat petak tanaman jenis bario itu yang diusahakan sejak 28 Jun lalu dan kini boleh dituai hasilnya.

Padi huma berkenaan diselenggara oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) itu mengambil masa empat bulan untuk matang di mana dijadikan sebagai percubaan sebelum dicadangkan kepada petani untuk diusahakan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman turut menyarankan agar penaman padi huma menjadi alternatif terbaik untuk menampung keperluan beras sekiranya berlaku krisis makanan.

Ia sesuai ditanam di kawasan sawah terbiar sebagai persediaan menghadapi cuaca panas berpanjangan akibat fenomena El Nino, yang diramal berlaku tahun hadapan.

Padi huma bukanlah seperti padi biasa yang kebanyakan ditanam oleh pesawah kerana ia boleh ditanam di luar tapak sawah serta lebih senang diurus dan tidak memerlukan air yang banyak untuk hidup.

Malah ia juga boleh ditanam di sekeliling rumah seperti yang diusahakan di halaman kediaman rasmi tersebut.

Tempoh tuaian padi huma biasanya antara tiga hingga enam bulan mengikut varieti dan sekilogram benih padi boleh menghasilkan 80 kilogram padi.

Sementara daripada setiap kilogram padi akan dapat menghasilkan 60 peratus beras dan ia dijual dengan harga RM26 sekilo, malah rasanya sedap dan ada varieti mengeluarkan aroma wangi.

Ahad lalu, ketika kunjungan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke kediaman rasmi tersebut beliau telah dibawa melawat tapak tanaman padi huma tersebut.

Ahli Parlimen Marang itu turut diberi penghormatan untuk mencuba memotong beberapa tangkai padi huma yang telah masak sebagai gimik lawatannya ke situ. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

- Advertisement -