
KUALA LUMPUR: Selaras dengan Teras 1 Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030), Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) telah dibentuk melalui penggabungan dua agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) iaitu Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) pada tahun 2019.
Menurut kementerian itu, ia bagi memperkukuhkan tadbir urus sektor angkasa negara dalam usaha mencapai objektif dan hala tuju yang ditetapkan di bawah DAN2030.
Seterusnya, katanya Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] telah digubal dan diwartakan pada 25 Januari 2022 bagi mengawal selia aktiviti angkasa negara bagi memastikan aktiviti yang dijalankan mematuhi perundangan dan garis panduan yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.
“Pewujudan akta ini juga dapat memperkukuhkan tadbir urus ekosistem sektor angkasa negara di samping dapat menggalakkan pembangunan industri angkasa tempatan,” ujar MOSTI dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar [PN-Kemaman] di Dewan Rakyat, semalam.
Dr. Ahmad Samsuri menerusi soalannya meminta Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi menyatakan sejauh mana pencapaian yang telah berjaya dicapai sejak tahun 2017 melalui lima teras di dalam Dasar Angkasa Negara 2030 yang melibatkan pengukuhan tadbir urus, penambahbaikan penggunaan teknologi, pembangunan kepakaran, penyumbang kepada ekonomi dan pengukuhan jaringan antarabangsa.
Tambah MOSTI, bagi memperkasakan lagi pelaksanaan DAN2030, Kementerian melalui MYSA telah membangunkan Pelan Tindakan Dasar Angkasa Negara 2030 yang dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030).
Katanya, MSE2030 telah menggariskan 15 strategi, 27 inisiatif dan 92 Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sehingga tahun 2030 yang terbahagi kepada tiga fasa pelaksanaan iaitu jangka pendek (2022 hingga 2023), jangka sederhana (2024 hingga 2026) dan jangka panjang (2027 hingga 2030).
Menurutnya lagi, sebanyak 17 KPI jangka pendek telah dicapai manakala 75 KPI jangka sederhana dan jangka panjang sedang dan akan dilaksanakan sehingga tahun 2030.
“Antara KPI yang telah dicapai adalah Pelan Strategik Industri Angkasa 2030 (SISP2030), pengukuhan jalinan kerjasama antarabangsa melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Kerjasama (MoC) dengan China National Space Administration (CNSA) dan Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA), Garis Panduan Kajian Kebolehlaksanaan Pembangunan Kemudahan Pelancar di Malaysia, penubuhan Malaysian Space Industry Consortium (MASIC) dan pembangunan 55 aplikasi berteraskan teknologi angkasa yang dimanfaatkan oleh 90 agensi pengguna dalam pelbagai sektor,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024











