RM3,598,817 dirampas kerana tipu logo, sijil halal

Dato' Rosol Wahid
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memberi perhatian serius berhubung isu-isu penipuan logo halal dan pensijilan halal yang mana ianya menjadi suatu kesalahan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 dan Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

- Advertisement -

Menurut KPDN, sepanjang tempoh 2022 hingga Oktober 2024, sebanyak 140 kes telah dihasilkan dengan nilai rampasan sebanyak RM3,598,817 yang melibatkan premis pemilikan orang Islam dan bukan Islam.

Kementerian itu menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Dato’ Rosol Wahid [PN-Hulu Terengganu] di Dewan Rakyat, semalam.

Rosol dalam soalannya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup menyatakan jumlah kes penipuan logo halal dan pensijilan halal terutama dalam kalangan pengusaha makanan dan minuman bukan Islam bagi tempoh 2022 hingga Oktober 2024.

Kata KPDN, bagi menangani isu-isu penipuan logo halal dan pensijilan halal, pihaknya akan mengambil Tindakan dengan bekerjasama dengan JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi memperkemaskan penguatkuasaan halal, membuat hebahan umum mengenai pematuhan perundangan halal melalui media sosial rasmi kementerian dan menerbitkan kenyataan media.

Selain itu, jelasnya KPDN menjalankan pemeriksaan halal secara berkala di pasar raya, restoran dan kilang pemprosesan, di samping memberi khidmat nasihat mengenai perundangan dan mengadakan operasi khas berkaitan halal secara bersepadu dengan agensi-agensi kerajaan di seluruh negara. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

- Advertisement -