
KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sentiasa bekerjasama rapat dengan semua kerajaan negeri, termasuklah Kelantan dalam memastikan kemudahan di lokasi-lokasi pelancongan utama di Malaysia berada dalam keadaan selamat dan selesa untuk kegunaan para pelancong tempatan mahupun luar negara.
“Sehingga kini, MOTAC belum menerima sebarang permohonan bagi cadangan pembangunan, penyelenggaraan atau peningkatan kemudahan pelancongan bagi menaik taraf kawasan pelancongan Gunung Stong, Dabong dengan anggaran kos sebanyak RM6.23 juta,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis kepada soalan Abdul Latiff Abdul Rahman [PN-Kuala Krai] di Dewan Rakyat, semalam.
Abdul Latiff dalam soalannya meminta Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya menyatakan apakah status projek menaik taraf kawasan pelancongan Gunung Stong, Dabong yang melibatkan kos RM6.23 juta memandangkan kawasan ini mempunyai potensi besar untuk pelancongan ekologi dan menarik pelancong luar.
Beliau juga ingin tahu bagaimana kementerian akan mempercepatkan kelulusan bagi menyokong pertumbuhan sektor pelancongan luar bandar.
Menurut MOTAC lagi, perancangan dan pembangunan pelancongan adalah di bawah tanggungjawab Kerajaan Negeri Kelantan melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berkenaan.
Sehubungan itu, ujarnya MOTAC mengalu-alukan cadangan oleh Abdul Latiff dan bersedia untuk mempertimbangkan sebarang permohonan baharu selaras dengan hala tuju MOTAC dan keutamaan Kerajaan Negeri Kelantan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri Kelantan bagi membantu menaik taraf infrastruktur dan kemudahan pelancongan di Parlimen Kuala Krai khususnya dan Negeri Kelantan amnya.
Katanya, bagi konteks pembangunan pelancongan dan sesuai dengan bentuk muka bumi Kuala Krai, MOTAC mencadangkan supaya produk-produk pelancongan berbentuk ekopelancongan yang mempunyai tarikan tersendiri di kawasan Kuala Krai dibangunkan oleh kerajaan negeri.
Tambahnya, selaras dengan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) 2020-2030, MOTAC juga telah mengenal pasti Kluster Ekopelancongan Pergau-Jeli-Gunung Stong-Nenggiri sebagai produk pelancongan baharu untuk dibangunkan.
“Menerusi pembangunan kluster ekopelancongan ini, aktiviti ekopelancongan dan pelancongan berasaskan komuniti dapat dikembangkan serta dipromosikan secara lebih holistik,” katanya.
Kata MOTAC lagi, kecepatan proses kelulusan setiap projek yang dipohon adalah berdasarkan takwim dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi melalui Garis Panduan Rancangan Lima Tahun.
“MOTAC sentiasa menyokong sebarang projek pembangunan yang dapat membantu meningkatkan industri pelancongan dan kebudayaan dan warisan negara asalkan ianya adalah selaras dengan Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020–2030, Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) 2021 dan Pelan Ekopelancongan Kebangsaan (NEP) 2020- 2030 yang dikeluarkan oleh kementerian ini serta Garis Panduan Rancangan Lima Tahun yang dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024











