Adakah kerajaan berhasrat tubuh IPT khusus pengajian hadis?

Mohd Misbahul Munir Masduki
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah menawarkan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana ataupun Doktor Falsafah pengkhususan dalam bidang hadis di kebanyakan universiti awam dan swasta.

- Advertisement -

“Namun begitu, kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk meneliti keperluan terhadap perkara ini pada masa akan datang,” kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dato’ Setia Dr. Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau menyatakan demikian dalam jawapan bertulis kepada pertanyaan Mohd Misbahul Munir Masduki [PN-Parit Buntar] di Dewan Rakyat, semalam.

Mohd Misbahul dalam soalannya meminta Perdana Menteri menyatakan adakah kerajaan berhasrat menubuhkan Institut Pengajian Tinggi pengkhususan dalam bidang Pengajian Hadis.

Menurut Naim, kerajaan melalui JAKIM telah mengambil inisiatif awal menyediakan syarah Hadis 40 Imam al-Nawawi sebagai panduan yang akan digunakan dalam pengajian kuliah terkini di masjid, surau dan modul kokurikulum di sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) serta sebagai panduan kepada masyarakat awam.

“Sekiranya dilihat kepada situasi semasa pada ketika ini, masyarakat awam juga dilihat semakin berminat untuk mempelajari dan mendalami ilmu berkaitan hadis secara tidak formal melalui siri-siri kuliah pengajian takmir yang diadakan di masjid-masjid seluruh negara atau secara online,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/10/2024

- Advertisement -