
LANGKAWI: Kerajaan negeri menggiatkan banyak usaha menjelang semakin hampirnya Tahun Melawat Kedah (TMK) 2025, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan, Dato’ Mohd Salleh Saidin.
Menurut beliau, usaha dan kerja keras sedang dilaksanakan itu adalah untuk memastikan supaya TMK2025 nanti berjalan dengan lancar dan mencapai matlamat seperti yang dikehendaki.
Salah satu usaha itu jelas ADUN Kubang Rotan tersebut, adalah untuk memastikan laluan masuk ke Langkawi yang ditetapkan menjadi ‘gateway’ kepada TMK ini, dapat berjalan seperti dirancang.
“Semalam, saya mengadakan pertemuan bersama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) Dato’ Haslina Abdul Hamid serta pengurusan agensi tersebut untuk membincangkan perkara-perkara berkaitan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, di sini semalam.
Antaranya kata Dato’ Salleh, pihaknya memberi penumpuan kepada mengukuhkan kesiapsiagaan bersama Kerajaan Negeri Kedah dan LADA bagi menyambut TMK2025.
“Alhamdulillah, banyak perkara yang kami bincangkan, banyak perkara berbangkit dan banyak perkara juga yang berjaya diselesaikan,” tambah beliau lagi.
LADA katanya, merupakan agensi Persekutuan yang memberikan sepenuh sokongan kepada TMK2025 dan beliau yakin jalinan kerjasama akan melakar sejarahnya tersendiri.
Dalam pada itu perbincangan itu juga ujar beliau, memfokuskan kepada beberapa aktiviti persiapan dan promosi menjelang TMK2025 terutama pada Disember ini.
“Kita akan adakan gotong-royong perdana secara besar-besaran di Langkawi melibatkan LADA, agensi-agensi berkaitan dan juga pejabat daerah.
“Selain itu kita juga memberi penekanan kepada sambutan ambang tahun baharu yang juga akan dilaksanakan di Langkawi sejajar dengan TMK2025,” jelasnya lagi.
Berikutan Langkawi sebagai ‘gateway’ atau pintu masuk pelancong, LADA juga katanya bersetuju membantu mempromosikan pakej-pakej pelancongan yang terdapat di tanah besar.
Sementara terdahulu, dalam program berasingan, Dato’ Salleh sempat merasmikan Program Semarak@ Muzium Kota Kuala Kedah yang berlangsung selama dua hari, bermula 25 Oktober lalu.
Program yang berkonsepkan kemasyarakatan, menjadi platform strategik dalam usaha mengangkat serta memartabatkan pelbagai warisan tradisi, seni budaya dan sejarah.
Program tersebut uga telah berjaya mencipta rekod ‘Malaysia Book Of Records’ dengan melibatkan 1,000 peserta berpakaian tradisional Melayu di pekarangan Muzium Kota Kuala Kedah tersebut.
Program anjuran Jabatan Muzium Malaysia (JMM) itu dihadiri Ketua Pengarah JMM, Datuk Kamarul Baharin A Kasim dan Timbalan Ketua Pengarah Permuziuman JMM, Mohd Razaimi Hamat.
Juga Pengarah Kolej Politeknik MARA Alor Setar, Nor Asmah Said dan Pengarah Muzium Negeri, Shuhadi Shukri. – HARAKAHDAILY 29/10/2024












