TG Presiden PAS luang masa ziarah Tun M di IJN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah meluangkan masa menziarahi tokoh Negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M) yang juga Penasihat SG4 di Institut Jantung Negara (IJN), di sini semalam.

Difahamkan bekas Perdana Menteri itu sedang menerima rawatan dan pemeriksaan susulan sejak beberapa hari lalu dan turut memaklumkan bahawa beliau dinasihatkan oleh doktor untuk tidak terlalu bergerak pada ketika ini.

Tuan Guru Abdul Hadi dalam hantaran media sosial yang dikongsi menyatakan bahawa pada ziarah itu beliau telah mengambil peluang bertanya khabar dan berbual pelbagai topik semasa termasuk isu Palestin yang sangat dekat di hati Tun M.

Malah maklum Ahli Parlimen Marang tersebut, Tun M turut menyebut bahawa para pemimpin dan umat Islam khususnya, tidak boleh duduk sahaja tetapi mesti terus berfikir dan bekerja demi agama, negara dan bangsa.

Setiausaha Politik Presiden PAS, Mohd Syahir Che Sulaiman yang turut serta pada ziarah tersebut, ketika ditanya berkenaan kesihatan Tuan Guru memaklumkan bahawa keadaan pemimpin tersebut amat baik pada ketika ini.

“Alhamdulillah. Malah sejak pulang lawatan luar negara (Tehran, Iran dan Istanbul, Turkiye) tempoh hari, Tuan Guru menghadiri mesyuarat-mesyuarat dan memenuhi beberapa jemputan program besar.

“Termasuk demonstrasi Palestin (Himpunan Setahun Taufan Al-Aqsa) di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (Kuala Lumpur) pada 12 Oktober lalu dan memenuhi undangan Kerajaan Negeri Kedah pada kelmarin (Ahad).

“Tuan Guru diundang memberikan syarahan sempena Majlis Pelancaran The Greater Kedah di mana telah berucap mengenai berkenaan topik Ketamadunan dan Kepimpinan Islam selama hampir dua jam,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS turut memaklumkan beberapa jadual rasmi Tuan Guru Abdul Hadi dalam masa terdekat ini melibatkan program besar di Kelantan dan juga Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen.

“InsyaAllah pada (Sabtu) 2 November Tuan Guru akan berkunjung ke Kelantan untuk Ijtimak Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia dan ceramah sempena Sambutan 34 Tahun Kerajaan Negeri Kelantan di PUTIK (Pengkalan Chepa).

“Termasuk komitmen Tuan Guru menghadiri Sidang pParlimen bermula pada 14 Oktober lalu dan insyaAllah Tuan Guru juga akan mengambil dalam perbahasan Belanjawan 2025 dijadualkan pada Selasa 5 November ini.

“InsyaAllah kita doakan ayahanda Tun M dan ayahanda Tuan Guru Presiden diberikan kesihatan dan kekuatan untuk terus memimpin ummah,” seru beliau yang juga Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN). – HARAKAHDAILY 29/10/2024

- Advertisement -
- Advertisement -