
KOTA BHARU: Kerajaan Negeri Perlis giat mempromosikan negeri hingga ke peringkat antarabangsa, demikian kongsi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Masyarakat dan Pelancongan Perlis, Wan Badariah Wan Saad.
Maklum beliau, antaranya mengukuhkan sektor pelancongan sebagai sumber ekonomi utama dengan menonjolkan keunikan tradisi dan budaya negeri tersebut, misalnya salah satu acara ikonik yang menjadi tarikan ialah Pesta Angin Timur.
Acara diadakan setiap tahun selepas musim menuai padi itu dikongsi beliau kepada peserta Konvensyen Pemerkasaan Kepimpinan Wanita SG4 di Hotel The Grand Renai, di sini semalam.
“Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, banyak membantu memperkenalkan Perlis di dalam dan luar negara, termasuk melalui pengenalan hidangan tradisional seperti Kurma Daging,” katanya.
Selain itu, beliau juga mengakui peranan besar dijayakan pemain industri dalam mengangkat pelancongan Perlis, selain melontarkan cabaran dalam mempromosikan budaya Perlis ialah memastikan keterlibatan wanita dalam persembahan seni yang mematuhi syariat.
“Antara yang dapat dibuat setakat ini ialah, kami menetapkan syarat tiada sentuhan dan memastikan pemakaian menutup aurat. Saya difahamkan di Kelantan, sebagai contoh, penari wanita hanya melibatkan golongan berumur 13 tahun ke bawah,” jelas beliau.
Niswah Sharing Session itu melibatkan beliau selaku panel bersama tiga lagi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Empat Kerajaan Negeri (SG4) iaitu Rohani Ibrahim dari Kelantan, Maliaman Kassim dari Terengganu, dan Dato’ Siti Ashah Ghazali dari Kedah.
Sesi ini dikendalikan oleh Ustazah Asmak Husin dan sebahagian daripada konvensyen tersebut merupakan sempena Sambutan Hari Sayyidatina Khadijah 2024.
Konvensyen itu anjuran Urus Setia Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Negeri Kelantan dengan tema “Agar Dirimu Semulia Khadijah”.
Konvensyen ini turut menampilkan persembahan silang budaya yang menarik seperti tarian Canggung dan tarian Ayam Didik dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kelantan.
Wan Badariah menambah, pihaknya sentiasa berusaha dengan mengambil pengalaman dari negeri yang telah lama berada di bawah kepimpinan PAS khasnya.
“Antaranya Sarkas Great Britain yang diadakan di Perlis sebelum ini, kita bagi syarat supaya mereka berpakaian sopan. No skirt, no bikinis and no short. Alhamdulillah mereka dapat ikut peraturan yang kita tetapkan.
“Kelantan pun ada buat juga, dan saya difahamkan Kelantan meletakkan syarat tiada penari wanita,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











