
KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua rakyat Malaysia yang beragama Hindu, Sikh dan Jain yang bakal bermula pada Khamis, 31 Oktober ini.
“Sebagai perayaan penting bagi satu segmen utama masyarakat kita, mesej dan simbolisme asasi sambutan ini, iaitu kemenangan cahaya ke atas kegelapan atau kebenaran mengalahkan kepalsuan, adalah selari dengan aspirasi seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama, kepercayaan atau latar belakang,” ujar Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, PAS percaya gesaan supaya manusia sentiasa berpihak kepada cahaya dan kebenaran, selain meningkatkan penghayatan mereka terhadap nilai-nilai murni dan luhur dalam kehidupan peribadi, keluarga dan masyarakat merupakan mesej universal dan abadi yang perlu digenggam serta diperbaharui pada setiap masa dan zaman.
“Hanya dengan teras nilai dan moral yang luhur dan tinggi inilah manusia akan dapat merealisasikan sebuah kehidupan yang indah, harmoni, diberkati dan sejahtera sekali gus bebas daripada penderitaan, kezaliman dan keburukan,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.
Dalam pada itu, kata beliau PAS juga suka mengingatkan supaya semua pihak sentiasa memposisikan serta menyelaraskan kepelbagaian dan kerencaman agama, kepercayaan dan budaya yang wujud di negara ini dalam kerangka dan landskap kebangsaan Malaysia bagi memastikan ia menjadi aset bersama, bukannya racun yang membinasakan.
Menurutnya, dengan latar belakang dunia yang semakin terbuka dan perkembangan geo-politik yang mencabar, kerap terjadi citra dan kepentingan kebangsaan diasak atau disudutkan kerana pertimbangan-pertimbangan politik, ekonomi, kaum, kelompok mahupun peribadi tertentu dalam kalangan pelbagai kumpulan atau individu.
Tambahnya, tanpa langkah penyuraian konflik yang berkesan dan berhemah, negara boleh kehilangan arah dan neraca keutamaannya, sementara rakyat terus keliru dan tertekan tanpa jalan keluar yang berguna.
Katanya lagi, lebih malang sekiranya ada dalam kalangan kita yang tanpa sedar menjadi ‘kuda Trojan’ kepada kepentingan, naratif dan cita-cita ‘asing’ yang bukan sahaja akan menghakis, malah boleh menenggelamkan terus kepentingan dan aspirasi kebangsaan Malaysia.
“Sempena sambutan Hari Deepavali kali ini, PAS berharap semua pihak akan kembali berhukum kepada kebenaran dan keadilan, bukannya terbuai dengan emosi, sentimen, sikap berlebih-lebihan, bermuslihat dan melampau kerana sifat destruktifnya yang jelas,” tambahnya.
Dalam pada itu, ujar beliau dengan keadaan cuaca hujung tahun dan cuti perayaan yang panjang, semua pihak harus lebih berhati-hati, terutama ketika berada di jalan raya bagi menghindari insiden yang tidak diingai.
“Mudah-mudahan semua doa dan harapan baik yang mengiringi sambutan ini akan tertunai dan menambah kepada mutu kehidupan kita bersama.
“Selamat bercuti dan selamat menyambut Hari Deepavali,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











