
KUALA LUMPUR: Tindakan kerajaan terhadap isu pengibaran bendera China di Teluk Intan dan Johor Bahru benar-benar bersifat berat sebelah (double standard).
Ketua Pemuda PAS Negeri Johor, Ahmad Nawfal Mahfodz berkata, beliau amat kesal dengan sikap kerajaan mengenai perkara tersebut.
“Kami Pemuda PAS Negeri Johor amat kesal dengan sikap kerajaan dalam menangani insiden pengibaran bendera China dalam perhimpunan-perhimpunan di Teluk Intan dan Johor Bahru baru-baru ini,” katanya dalam satu kenyataan yang dibuat dalam media sosial Facebook Pemuda PAS Johor hari ini.
Menurut beliau, kedua-dua acara tersebut menyaksikan bendera China dikibarkan secara terbuka tanpa sebarang tindakan tegas daripada pihak berkuasa.
Ini, katanya sekali gus menimbulkan persoalan tentang keadilan dan kesaksamaan dalam pelaksanaan undang-undang.
Ujarnya, apa yang lebih mengecewakan ialah penglibatan Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada kerajaan dalam acara tersebut, yang seolah-olah menunjukkan bahawa kerajaan Madani tidak mengambil serius dalam menjaga sensitiviti rakyat.
“Adakah ketiadaan tindakan tegas dalam isu ini berpunca kerana adanya wakil dari pihak kerajaan Madani yang turut serta?
“Sikap ini menimbulkan persepsi bahawa kerajaan mengamalkan standard berganda, di mana tindakan pantas diambil terhadap perhimpunan melibatkan bendera Malaysia, tetapi tiada tindakan apabila melibatkan simbol negara asing seperti bendera China,” ujarnya.
Katanya, perbezaan layanan ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak adil dalam kalangan rakyat, malah memperlihatkan ketidakseriusan kerajaan dalam menjaga keharmonian dan sensitiviti antara kaum.
Tambahnya, rakyat Malaysia mendambakan pentadbiran yang telus, adil, dan berintegriti serta bukannya sebuah kerajaan yang mengambil mudah isu-isu sensitif sebegini.
Sehubungan itu, Ahmad menyeru supaya kerajaan bertindak dengan lebih adil dan saksama mengenai isu sebegini tanpa mengira mana-mana pihak yang terlibat.
“Kami menyeru agar kerajaan bertindak dengan adil dan saksama, tanpa mengira siapa yang terlibat, sama ada dari pihak kerajaan atau tidak.
“Sikap pilih kasih dan amalan standard berganda ini hanya akan menimbulkan keresahan di kalangan masyarakat, menghakis kepercayaan terhadap kerajaan, dan menggugat perpaduan nasional.
“Kami juga mendesak agar tindakan tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam insiden ini, termasuk wakil rakyat yang hadir, demi menjaga keharmonian negara dan menghormati sensitiviti rakyat,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/10/2024











