Subsidi RON95: ‘Ini satu isu yang sangat membimbangkan’

Thines Sreedaran
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2025 yang dibentangkan baru-baru ini menyaksikan kelas pertengahan atau seperti mana yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) sebagai ‘mahakaya’ (T15) adalah golongan rakyat yang paling rugi.

- Advertisement -

Ahli Jawatankuasa Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP), Thines Sreedaran berkata, walaupun kriteria golongan T15 ini masih belum dimuktamadkan, namun mereka akan berdepan dengan pengurangan subsidi RON95, kesihatan dan pendidikan.

“Ini satu isu yang sangat membimbangkan kerana kita masih tidak dapat gambaran sebenar berapa banyak subsidi akan ditarik balik.  Adakah ia sepenuhnya atau separuh, semuanya masih teka-teki. 

“Terma yang digelarkan oleh beliau (PMX) adalah amat serius dan bakal membawa kemarahan di kalangan rakyat jelata. Beliau seolah-olah memberikan perbandingan yang rakyat mempunyai pendapatan keseluruhan sebanyak RM13,000 adalah kaya-raya,” katanya menerusi satu kenyataan.

Tambah Thines, PMX telah berjaya membina naratif palsu dengan rakyat yang berada dalam kelas pertengahan digelar sebagai ‘mahakaya’ dan sedang menghukum mereka dengan penarikan subsidi.

“Terang lagi bersuluh kita dapat merumuskan pendapatan yang bakal dikategorikan sebagai T15 tidak sama di setiap negeri. 

“Oleh itu, adakah tindakan kerajaan ini adil untuk sama ratakan pendapatan rakyat di negeri seperti Kelantan berbanding di Selangor? Ini menunjukan Kerajaan Madani hari ini gagal memahami rungutan rakyat.

“Dengan harga minyak dunia yang tidak menentu kerana peperangan di Timur Tengah, ini bukan masa yang sesuai untuk kerajaan menarik semula subsidi, inilah masa kerajaan harus memberi bantuan kepada rakyat supaya menjadi satu suntikan kepada ekonomi,” tegasnya.

Menyentuh mengenai isu kenaikan gaji yang ditetapkan kepada RM1,700, beliau berpendapat bahawa ianya turut akan memberi impak kepada harga barangan.

“Bolehkah kerajaan menjamin harga barang tidak akan naik? Tidak kerana kos overhead akan meningkat dan secara automatik para peniaga akan menggunakan kesempatan ini untuk meningkatkan harga barangan.

“Isu ini akan bertambah buruk pada tahun 2025 apabila syarikat insurans mengambil langkah seperti meningkatkan premium insurans kerana rakyat berada dalam kelas pertengahan akan mula beramai-ramai kejar untuk mendapat insurans,” ujarnya.

Justeru, menurut beliau, kesan terhadap isu berkenaan adalah agak mendalam dan tidak kena pada waktunya apabila dunia kini di ambang peperangan. 

“Kesimpulannya, kelas pertengahan tidak lama lagi akan jatuh ke satu tingkat bawah dan ini yang reformasi dijanjikan kepada rakyat oleh PMX rupanya.

“Syabas Malaysia Madani! Kamu berjaya mengubah landskap negara ke lebih bawah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/10/2024

- Advertisement -