
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari berkata, jika ada warganegara Malaysia yang berminat untuk mengibarkan bendera negara lain ketika mana-mana perayaan, janganlah dihalang-halang kerana itu merupakan minat dan kecenderungan mereka.
“Namun, syaratnya serahkan kewarganegaraan itu dulu. Daftarlah sebagai warganegara di negara bendera yang mereka junjung itu. Ringan sikit bumi Malaysia.
“Jika ada menteri pun yang sokong aktiviti ini, menteri itu pun wajar dipecat kewarganegaraan,” katanya menerusi catatan di laman sosialnya, hari ini.
Ini susulan tular mengenai sebuah video yang memaparkan perarakan sekumpulan peserta yang berarak sambil memegang bendera negara China di sebuah festival yang berlangsung di sekitar Menara Condong Teluk Intan bulan lalu.
Namun, apa yang mengejutkan dan mengecewakan orang ramai adalah apabila para peserta dalam perarakan berkenaan telah mengibarkan bendera negara China.
Tindakan tersebut dianggap sebagai satu tindakan provokasi yang mencabar kedaulatan dan keharmonian negara, khususnya Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 (Akta 193) Seksyen 3.
Dalam peruntukan berkenaan, bahawa tiada seorang pun boleh mempamerkan mana-mana lambang kebangsaan termasuk bendera negara asing di tempat awam.
Sementara itu, netizen yang turut melihat insiden berkenaan turut menyuarakan pandangan sama dan mengecam perarakan yang berlangsung itu.
@BonoTini menerusi laman X menulis, “kerajaan patut haramkan bendera lain dikibarkan selain bendera Malaysia. Jangan nak naik muka sangat bangga dengan bendera luar, ini tanah air Malaysia, bukan tanah besar China. Hormat sikit dengan negara Malaysia.”
Sementara itu, @afifinazri_ pula menulis, “Memang hancur lah melayu Malaysia ni. Kita sebenarnya dijajah China Komunis! Habislah wei melayu, memang habislah senang cakap.”
Pihak kerajaan khususnya Kementerian Dalam Negeri digesa untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap penganjur kerana dikhuatiri akan mempengaruhi ideologi dan pemikiran orang ramai. – HARAKAHDAILY 25/10/2024











