
KUALA LUMPUR: Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu) mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan pembangunan teknologi nuklear berasaskan torium, yang dilihat lebih bersih dan selamat berbanding penggunaan uranium 235.
Menurut beliau, kajian Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) menunjukkan torium mempunyai kelebihan dari segi keselamatan, dan Malaysia boleh memanfaatkan sumber torium yang merupakan hasil sampingan daripada industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE).
Katanya, potensi ekonomi bernilai lebih RM800 bilion boleh dijana daripada pemprosesan nadir bumi dalam negara.
“Adakah kerajaan tidak berhasrat untuk membangunkan tahap sebenar teknologi ini dengan mencadangkan pengekstrakan torium daripada industri pomposesan REE ini,” soalnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, dalam responsnya, mengakui bahawa reaktor torium secara teorinya lebih selamat kerana menghasilkan sisa radioaktif yang kurang bertahan lama.
Namun, beliau menjelaskan bahawa teknologi untuk menggunakan torium sebagai bahan api masih memerlukan banyak kajian, melibatkan kos yang tinggi dan proses yang rumit.
“Setakat ini, belum ada negara yang menggunakan torium secara meluas, walaupun India sedang meneroka penggunaan torium di peringkat penyelidikan dan pembangunan (RnD),” katanya.
Namun, Chang menjelaskan bahawa unsur nadir bumi yang ditemui iaitu Ion-Adsorption Clays (ILC), mempunyai tahap radioaktiviti yang sangat rendah dan belum sesuai untuk pengekstrakan torium pada masa ini.
Sebelumnya, Amzad dalam soalan asal meminta Menteri menyatakan perancangan kementerian untuk membina reaktor nuklear baru dengan teknologi yang lebih baru dan canggih bagi menggantikan Reaktor Triga Puspati (RTP) yang sudah digunakan sejak 1982. – HARAKAHDAILY 23/10/2024











