
KUALA LUMPUR: Perbezaan harga runcit diesel yang ketara antara Malaysia dan bersempadan dengan negara jiran menyebabkan bahan api itu terus menjadi sasaran penyeludup.
Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) berkata, kerajaan perlu menggunakan sistem pemantauan tinta dengan memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau penggunaan dron di dalam era teknologi yang serba canggih itu.
“Hal demikian bertujuan bagi menyekat aktiviti penyeludupan subsidi diesel.
“Jika tidak, apakah langkah yang lebih efektif di dalam menangani masalah yang dihadapi oleh negara pada hari ini,” katanya ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Dalam soalan asal, Roy Angau Gingkoi (GPS-Lubok Antu) meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk bertindak lebih tegas bagi membanteras penyelewengan diesel subsidi di Malaysia terutama di negeri yang bersempadan dengan negara jiran seperti Sarawak.
Selain itu, langkah proaktif yang diambil bagi mengurangkan ketirisan dan penyeludupan bahan-bahan bersubsidi lain.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kementeriannya akan menyusun strategi untuk meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan dengan menggerakkan penguatkuasaan bersandarkan digital.
“Kementerian akan membantu bersama-sama kerana ia melibatkan barang dan barang kawalan yang bermula daripada dalam negara dan diseludup ke pintu sempadan. Itu memang hasrat kementerian,” katanya. – HARAKAHDAILY 23/10/2024











