Syarat masuk syurga: Iman dan amal soleh

- Advertisement -

ALLAH menekankan bahawa seseorang itu perlu beriman dan beramal soleh untuk memastikan mereka layak memasuki syurga. Iman sahaja tidak memadai jika tidak disertai amal soleh, manakala amal soleh tanpa iman adalah lebih berat lagi di sisi Allah.

Contohnya, ada orang kafir yang menjaga larangan seperti tidak makan babi, tidak berjudi, tidak berzina, dan tidak minum arak. Malah, mereka sanggup makan di kedai Melayu kerana dan memilih ayam sembelihan kerana ingin menjaga standard kebersihan. Walaupun amalan ini baik di mata manusia, ia tetap tidak bernilai di sisi Allah kerana tidak disertai iman.

- Advertisement -

Beriman dan beramal soleh adalah syarat asas untuk memasuki syurga. Allah telah menyediakan jalan yang mudah ke syurga, terpulang kepada kita untuk memilihnya atau tidak. Penting bagi kita untuk menjaga iman agar tidak rosak, dan menjaga amal agar ‘comel’ iaitu selaras dengan ajaran Allah dan Rasul.

Antara amalan yang mudah diamalkan adalah membaca Ayatul Kursi selepas solat. Nabi SAW bersabda, “Bagi orang yang membacanya selepas solat, tiada yang menghalangnya masuk syurga kecuali mati.” (Rujuk Riwayat Imam an-Nasa’i, 9928)

Nabi juga menyebut tentang keutamaan membaca Sayyidul Istighfar pada waktu pagi. Sesiapa yang membacanya dengan yakin, jika dia meninggal dunia pada hari itu, dia akan masuk syurga. (Rujuk Riwayat Imam Bukhari, 6306)

Dalam hadis lain, Nabi menyebut empat amalan yang memudahkan seseorang masuk syurga (Rujuk Riwayat Imam Ibnu Majah, 2648):

Yang pertama, sebarkan salam. Berilah salam kepada mereka yang ditemui, terutama yang lebih tua, atau ketika memasuki rumah. Adab memberi salam juga penting: orang yang menaiki kenderaan memberi salam kepada orang yang berjalan kaki.

Yang kedua, beri makan kepada orang yang susah. Contohnya, belanja makan di kedai kopi atau menjamu tetamu di rumah. Paling utama adalah memberi makan kepada mereka yang miskin dan memerlukan.

Yang ketiga, sambung silaturrahim, terutamanya hubungan kekeluargaan seperti adik-beradik, sepupu, dan saudara-mara. Maksudnya, jangan biarkan hubungan terputus, dan hindari perselisihan tanpa sebab munasabah.

Dan yang keempat, solat malam, terutama solat Tahajud. Usahakan untuk bangun solat walaupun hanya dua rakaat, terutamanya jika terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil. Selepas solat, boleh sambung tidur.

Jika kita amalkan keempat-empat perkara ini dengan istiqamah, insyaAllah, jalan ke syurga akan terbuka luas dan penuh keberkatan. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -