Seruan adakan solat hajat di kediaman sendiri

- Advertisement -

ALOR SETAR: Semua pemimpin dan ahli PAS Kedah, disaran mengadakan solat hajat di kediaman masing-masing agar terselamat dari segala musibah dan bahaya.

- Advertisement -

Saranan itu juga digalakkan kepada pendukung serta penyokong PAS termasuk Perikatan Nasional (PN) khususnya bagi memohon agar Allah memelihara negeri Kedah daripada perkara tidak diingini.

Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, semoga dengan usaha itu menjadi asbab diberi keselamatan kepada semua penduduk negeri ini daripada bencana.

“Moga-moga usaha dan ikhtiar kita ini dipandang oleh Allah SWT selain menjadi amalan soleh, agar kita semua sentiasa dalam rahmatNya..InsyaAllah,”  tegas beliau, di sini.

Umum mengetahui, Kedah antara negeri yang dilanda banjir sejak 18 September lalu apabila berlaku hujan lebat di beberapa daerah sehari sebelum kejadian.

Banjir yang melanda sembilan daerah iaitu Kubang Pasu, Pokok Sena, Kuala Muda, Kota Setar, Pendang, Sik, Baling,  Kulim dan Padang Terap telah menyebabkan ribuan penduduk terkesan.

Malah, musibah banjir di Daerah Padang Terap telah mengorban dua nyawa, selain bukan hanya banjir, terdapat juga di beberapa tempat dilanda musibah ribut yang mengakibatkan kerosakan kediaman penduduk.

Banjir di Kedah yang di setengah tempat dianggap ‘banjir termenung’  menjadi bertambah teruk apabila berlaku peralihan monsun, mengakibatkan banjir semakin pulih berulang kembali.

Sementara di beberapa pusat rekreasi dan lata air terjun di Sik juga diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga dibimbangi berlaku kepala air, termasuk banjir yang membawa lumpur di Daerah Baling.

Sungguhpun begitu, Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyifatkan banjir yang melanda Kedah kali ini tidaklah seteruk kejadian pada 2010 sebelum ini.

Dalam pada itu, setiap keluarga yang ditimpa musibah banjir dan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) mendapat sumbangan daripada kerajaan negeri sebanyak RM1,000.

Fenomena banjir kali ini tidak ketinggalan menjadi medan sukarelawan menabur bakti termasuk bantuan serta sumbangan dari negeri luar khususnya PAS dan Khidmat Malaysia, mencurah-curah, membantu mangsa yang terkesan.

Terdahulu, PAS Kedah telah mengadakan solat hajat dan bacaan Yaasin di Kompleks PAS Kedah, sementara Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abdul Samat telah membuat arahan yang sama kepada surau dan masjid seluruh negeri itu. – HARAKAHDAILY 21/10/2024

- Advertisement -