Kebenaran Al-Quran dan persiapan menuju kiamat

- Advertisement -

ORANG-orang kafir tidak akan berhenti meragui kebenaran al-Quran. Mereka terus mempertikaikannya meskipun bukti-bukti telah jelas di hadapan mereka. Keadaan ini akan berterusan sehinggalah kiamat tiba, yang akan datang secara tiba-tiba dan tanpa amaran.

- Advertisement -

Nabi Muhammad SAW pernah bersabda sambil merenggangkan jari telunjuk dan jari tengahnya: Kedatanganku dan kiamat adalah seperti ini,” merujuk kepada jarak yang sangat pendek antara kedua-dua jari tersebut, menggambarkan bahawa jarak antara zaman Baginda dan kiamat adalah sangat singkat. (Riwayat al-Bukhari, 5301).

Keraguan berterusan ini, jika tidak diikuti dengan usaha untuk memahami dan menerima kebenaran, hanya akan membawa mereka kepada azab yang tiada kebaikan padanya. Azab ini datang pada hari yang penuh kesukaran, di mana tiada lagi peluang untuk mencari kelepasan atau perlindungan.

Pada hari kiamat, seluruh kuasa pemerintahan adalah milik Allah sepenuhnya. Di dunia ini, Allah memang Penguasa mutlak, namun Dia memberikan manusia kebebasan untuk memilih ketaatan atau penentangan, serta peluang untuk melakukan amal, baik atau buruk.

Apabila kiamat tiba, ruang pilihan akan tertutup sepenuhnya. Tiada lagi peluang untuk mengelak, meminta maaf, atau bersembunyi. Allah akan mengadili setiap manusia berdasarkan amalan yang telah dilakukan di dunia, dan tidak ada lagi kesempatan untuk mengubah nasib.

Orang yang beriman dan beramal soleh akan menikmati ganjaran syurga yang penuh nikmat, sebagai balasan atas usaha dan ketaatan mereka. Bagi yang ingkar, balasan yang diterima adalah setimpal dengan perbuatan mereka, tanpa ada peluang lagi untuk meraih keampunan atau kelepasan. – HARAKAHDAILY 20/10/2024

PENAFIAN
Harakahdaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian Harakahdaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -